UUM Today

Your Reliable Digital Information

Powered by DaysPedia.com
Time in %PlaceName now
1023

UUM jadi tuan rumah Mesyuarat MDPA UA Ke-31

Nordiana Shafiee

Nordiana Shafiee

UUM News Editor, Journalist

Gambar Pusat Asasi Pengurusan/UUM Today

LANGKAWI: Universiti Utara Malaysia (UUM) menjadi tuan rumah bagi Mesyuarat Majlis Dekan/Pengarah Asasi (MDPA) Universiti Awam (UA) Kali Ke-31 yang diadakan baru-baru ini di Goldsands Hotel.

Mesyuarat tersebut dipengerusikan oleh Prof. Madya Dr. Laili Che Rose, Pengarah Pusat Asasi STEM, Universiti Malaysia Terengganu (UMT) dengan penglibatan seramai 20 ahli MDPA dan urus setia yang terdiri daripada wakil-wakil UA, Asasi TVET dan Bahagian Matrikulasi.

Dr. Laili berkata, MDPA merupakan platform penting untuk menyelaraskan dan mengkoordinasikan program-program asasi serta meningkatkan jaringan kerjasama antara pusat-pusat asasi UA dan kolej matrikulasi menerusi pelbagai aktiviti anjuran MDPA.

Menurutnya, agenda utama mesyuarat kali ini ialah membincangkan program kerjasama bersama Dewan Bahasa dan Pustaka serta pembentangan laporan perancangan aktiviti MDPA bagi Buletin Asasi Edisi Kelima, Pertandingan Debat Antara Asasi (PeDAA) 2024, Pertandingan Inovasi Inter Asasi Matrikulasi (PIItrAM) 2024, Festival Pantun Inter Asasi Universiti Awam (FANTASI) 2024 dan Sukan Asasi Malaysia (SAM) 2024.

Turut diadakan Majlis Makan Malam bersama Majlis Dekan/Pengarah Asasi UA yang dihadiri oleh Naib Canselor UUM, Prof. Dr. Mohd Foad Sakdan dan Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) UUM, Prof. Ts. Dr. Shahimi Mohtar.

Dr. Mohd Foad dalam aluannya mengucapkan selamat datang kepada semua delegasi dan berharap Mesyuarat MDPA kali ke-31 berjalan lancar dan mencapai objektif yang ditetapkan.

“Pada tahun hadapan, PAP UUM telah terpilih sebagai tuan rumah bagi kejohanan Sukan Asasi Malaysia (SAM). Ini sejajar dengan pelancaran Tahun Melawat UUM bagi tahun 2024 sempena sambutan Hari Pengasasan UUM ke-40 tahun.

“Justeru, saya ingin menjemput dan mengharapkan penyertaan penuh daripada semua ahli MDPA dan atlet-atlet SAM daripada pusat-pusat asasi UA, asasi TVET – Politeknik Tuanku Syed Sirajuddin dan Kolej Matrikulasi Kedah,” ujar beliau. – Nur Shazwani Shariffudin