UUM Today

Your Reliable Digital Information

Powered by DaysPedia.com
Time in %PlaceName now
1023

UUM johan Pertandingan Deklamasi Puisi Piala Jamalullail

Nordiana Shafiee

Nordiana Shafiee

UUM News Editor, Journalist

Gambar Ihsan M Shahadat Ali Nordin

KANGAR: Pegawai Tadbir dari Universiti Utara Malaysia (UUM), M Shahadat Ali Nordin telah merangkul gelaran juara Pertandingan Deklamasi Puisi Piala Jamalullail sempena Festival Kesenian, Budaya dan Bahasa Peringkat Negeri Perlis, baru-baru ini.

Kemenangan itu membolehkan beliau membawa pulang hadiah berupa tunai RM900, piala pusingan dan sijil yang disampaikan oleh Pemangku Raja Perlis, Duli Yang Maha Mulia, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail yang telah berkenan berangkat ke acara malam kemuncak festival tersebut.

Menurut Shahadat dari Jabatan Hal Ehwal Pelajar, dia tidak sangka persediaan di saat akhir membuahkan hasil untuk bergelar johan pertandingan itu menerusi sajak ciptaan sendiri bertajuk ‘Dan Berlarilah Mencari Makna Abadi’.

“Sajak ini dihantar pada malam Rabu minggu lalu dan mengambil masa selama 1 hari untuk hafalan, namun keadaan kesihatan tidak mengizinkan kerana saya demam sehingga hari pertandingan.

“Penyertaan kali ini melibatkan ikon-ikon hebat Pemuisi Perlis dan pencipta-pencipta sajak yang sangat kreatif. Walau bagaimanapun, saya memegang kata-kata Adiguru saya agar tidak mengalah sebelum berjuang.

“Pesanan ini membuatkan saya meneruskan pertandingan walaupun dalam keadaan tidak sihat. Alhamdulillah, nikmat digunakan sebaik mungkin dan apa yang saya boleh katakan, rezeki tidak salah alamat jika kita berusaha dan terus berdoa,” katanya yang berjaya mengetepikan 17 saingan dari pelbagai daerah, IPT dan negeri menyertai pertandingan itu.

Sajak ciptaan sendiri ini mengisahkan tentang ketidakadilan dunia, kerakusan dan kekecewaan, lantas menyeru agar ummah kembali ke jalan yang lurus kembali demi mencari Martadillah (Jalan menuju redha Allah).

Festival Kesenian, Budaya dan Bahasa yang berslogankan ‘Citrawarna Pemangkin Ummah’ itu dianjurkan bersama oleh Kolej Islam Universiti Islam Perlis (KUIPs), Majlis Agama Islam Perlis, Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara, Kementerian Pendidikan Tinggi dan Dewan Bahasa dan Pustaka.

Antara aktviti diadakan ialah deklamasi puisi, persembahan teater, pameran buku, pameran khat, pameran permainan tradisional, aktiviti derma darah dan trak jualan makanan.