UUM Today

Your Reliable Digital Information

Powered by DaysPedia.com
Time in %PlaceName now
1023

UUM Junior Idol cungkil bakat cilik

Nordiana Shafiee

Nordiana Shafiee

UUM News Editor, Journalist

Gambar Pusat Budaya dan Seni UUM/UUM Today

SINTOK: Lagu ‘I Have Nothing’ membawa tuah kepada Puteri Ainul Farisya Zuraimi, 12, dari Sekolah Kebangsaan (SK) Sena Kangar apabila dinobatkan sebagai juara Pertandingan UUM Junior Idol, baru-baru ini.

Kejayaan itu telah melayakkan Puteri Ainul Farisya membawa pulang hadiah berupa wang tunai sebanyak RM500 berserta trofi, hamper dan sijil, malah Puteri Ainul Farisya turut menerima Anugerah Vokal Terbaik dengan menerima hadiah berupa wang tunai sebanyak RM50 berserta trofi, hamper dan sijil.

Pengarah Pusat Seni dan Budaya, UUM, Dr. Mohd Azhar Abu Bakar @ Dr. Azmeer berkata, pertandingan nyanyian ini bukan sahaja dapat mencungkil bakat baharu malah menjadi satu platfom terbaik untuk memupuk semangat dan imaginasi generasi muda yang aktif, berani serta cekal.

Di samping itu, katanya, ia mewujudkan asas untuk kanak-kanak demi menjamin masa depan yang lebih baik dan cemerlang, tambahan pula mereka yang menyertai pertandingan itu bukan saja memiliki pelbagai bakat sama ada meliputi bakat akademik tetapi juga bakat dalam bidang seni dan budaya.

“Pertandingan ini julung kali diadakan dengan kerjasama PBS dengan Jawatankuasa Kebudayaan Majlis Kebajikan, Sukan dan Kebudayaan (MKSK) melibatkan pelajar sekolah.

“PBS kini mengembangkan usaha pembangunan seni dan pembugaran bakat bukan sahaja dalam kalangan mahasiswa UUM, malah turut diperluaskan kepada orang awam. Kita menyahut saranan Menteri Pengajian Malaysia dalam pembangunan bakat dalam kalangan pelajar sekolah bukan sahaja pelajar universiti,” ujarnya.

Tempat kedua dimenangi oleh Waffa Qasrieyna Dylaila Harfazal dan tempat ketiga disandang oleh Muhammad Adib Adham Md Shaiful Anwar di mana masing-masing menerima hadiah wang tunai sebanyak RM300 dan RM200 berserta trofi, hamper dan sijil.

Bagi Anugerah Khas juri dimenangi oleh Dhiya Marissa Tihanny Azfar Abdul Haqq dari SK Dato’ Wan Kemara dan Anugerah Persembahan Terbaik disandang oleh Qaseh Qasdina Hamzah dari SMK Jitra. Mereka membawa pulang hadiah wang tunai RM50 berserta trofi, hamper dan sijil.

Semua peserta diadili oleh tiga panel juri yang diketuai wakil Institut Pendidikan Guru (IPG) Perlis, Megat Mohd Noor Megat dan dua Artis Budaya dari UniMAP, Azuan Othman dan Nurul Hani Nadierah Yusof.

Mengulas tentang kejayaannya, Puteri Ainul Farisya berkata, dia sangat teruja dengan kemenangan yang diperolehinya dan tidak percaya akan menang dalam UUM Junior Idol tersebut kerana ramai lagi peserta lain yang lebih hebat.

“Pada mulanya saya diumumkan sebagai Anugerah Vokal Terbaik dan saya tidak sangka saya akan bergelar juara UUM Junior Idol.

“Pertandingan ini dapat memberi satu impak yang positif terhadap diri saya dan akan menjadi batu loncatan untuk meneruskan bakat dalam bidang nyanyian di peringkat lebih tinggi,” katanya. – Zalia Antasya Izmal Nizam (Pelajar Pelatih dari Kolej Profesional MARA Indera Mahkota)