UUM Today

Your Reliable Digital Information

Powered by DaysPedia.com
Time in %PlaceName now
1023

UUM kekal dalam ranking MBA dunia

Siti Fatimah Abdullah

Siti Fatimah Abdullah

UUM Feature Editor and journalist for UUM TODAY news portal

PULAU PINANG: Program MBA Universiti Utara Malaysia (UUM) kekal berada di kedudukan 201-250 dalam QS Global MBA Rankings 2023 sekali gus menjadi satu-satunya universiti di Malaysia yang tersenarai dalam ranking berkenaan.

Manakala dua bidang pengkhususan graduan program MBA Othman Yeop Abdullah Graduate School of Business (OYAGSB), iaitu perundingan dan pengurusan operasi, berada dalam senarai 100 terbaik dunia apabila tersenarai di kedudukan 91-100 bagi ‘QS Global MBA by Career Specialization Rankings 2023’. Penarafan ini berdasarkan kepada kerjaya graduan, pandangan majikan dan kekuatan penyelidikan.

Naib Canselor, Prof. Dr. Haim Hilman Abdullah berkata, pencapaian ini amat membanggakan memandangkan UUM merupakan universiti berfokus dalam bidang pengurusan berbanding universiti lain yang bersifat komprehensif. 

Jelasnya, pengiktirafan ini pasti dapat menarik lebih ramai pelajar antarabangsa dan tempatan untuk menyertai program MBA UUM.   

Beliau menyifatkan kejayaan ini merupakan satu pencapaian terbaik sebagai asas untuk mempromosikan program MBA dan beliau optimis program lain juga akan dapat sambutan kerana pelajar di luar sana melihat UUM dalam kedudukan tersendiri.

“Saya ingin menyatakan rasa gembira di atas kejayaan UUM dan kita satu-satunya program MBA di Malaysia yang tersenarai di kedudukan ke-201-250 dunia jadi tahniah kepada OYAGSB dan seluruh warganya serta warga UUM yang menyumbang kepada kejayaan ini.

“OYAGSB mempunyai nama dan kualiti tersendiri dengan pencapaian di dalam ranking berkenaan secara tidak langsung telah menjulang universiti itu di persada dunia,” ujarnya pada Bengkel Pemantapan Pelan Strategik dan Bajet Tahun 2023 yang berlangsung di Pulau Pinang, baru-baru ini. 

Sementara itu, Provos UUMKL merangkap Dekan OYAGSB, Prof. Dr. Hassan Abu Bakar berkata, kejayaan ini menunjukkan kualiti pengajaran dan pembelajaran OYAGSB setaraf dengan universiti antarabangsa.

Antaranya dalam aspek aplikasi pengetahuan praktikal dan teori dalam pembelajaran, menggunakan kes ‘Harvard Business Review’ dalam kelas, komposisi pelajar yang sepenuhnya mempunyai pengalaman bekerja, mereka juga bekerja di syarikat terbilang juga berjawatan tinggi, dan keterlihatan OYAGSB.

“Program MBA sepenuh masa melengkapkan pelajar dengan kemahiran penting untuk landskap perniagaan global yang terus berkembang jadi tidak hairanlah kebanyakan pelajar memiliki pengalaman kerja malah ada yang bekerjaya hebat menjawat jawatan tertinggi seperti CEO dan pengarah,” ujarnya.    

Beliau berharap momentum itu dapat diteruskan dan dikekalkan agar UUM terus melangkah ke hadapan dan dapat merealisasikan misi untuk memastikan OYAGSB berstatus ‘Triple Crown’ selain ‘Top Business School’.

“Untuk mencapai ‘Triple Crown’ kita sedang bergerak ke arah EQUIS menjelang 2025 dan impian ini sudah pasti akan menjadi kenyataan setelah kita memperoleh AACSB dan AMBA.

“Terima kasih kepada semua terutamanya Prof. Dr. Sany Sanuri Mohd Mokhtar  yang merintis usaha ini sehingga kita menempa reputasi cemerlang dalam ranking dunia terutamnya dari aspek pertambahan jumlah pelajar,” ucapnya.

Program MBA OYAGSB mendapat akreditasi antarabangsa oleh AACSB dan AMBA selain Chartered Management Institute (CMI) sebagai badan profesional terkemuka dunia dalam pengurusan dan kepimpinan.

MBA memberi tumpuan kepada membangunkan pemimpin perniagaan masa depan dengan kemahiran  serta kecekapan untuk menangani persekitaran perniagaan yang sentiasa berubah dengan cara yang cekap dan berkesan.