Gambar Dr. Nashirah Abu Bakar/UUM Today
KUALA LUMPUR: Universiti Utara Malaysia (UUM) menerusi Pusat Pengajian Perniagaan Islam (IBS) dipilih Lembaga Tabung Haji (TH) bagi mengetuai penubuhan Pusat Kecemerlangan Tabung Haji atau RAJIH.
Ia merupakan persetujuan bersama antara Naib Canselor UUM, Prof. Dr. Mohd Foad Sakdan dan Pengarah Urusan Kumpulan & Ketua Pegawai Eksekutif Tabung Haji, Syed Hamadah Syed Othman pada September lalu.
Cadangan Naib Cancelor untuk menjadikan IBS sebagai penyelaras kepada Pusat Kecemerlangan RAJIH kepada universiti awam di Malaysia itu disambut baik oleh Tabung Haji.
Sehubungan itu juga, Prof. Dr. Rosylin Mohd Yusof telah mengadakan kunjungan ke Bahagian Haji di Menara Tabung Haji pada 3 Oktober lalu untuk perbincangan lanjutan berkaitan persetujuan penubuhan Pusat Kecemerlangan RAJIH.

Menurut Dr. Rosylin, program akan dimulakan dengan menganjurkan bengkel hala tuju strategik RAJIH yang melibatkan TH, UUM, Universiti Sains Islam Malaysia dan Universiti Kebangsaan Malaysia yang dijangka diadakan pada pada 9 November depan.
“Program kedua pula dijangka akan diadakan pada Disember sempena sambutan 60 tahun Tabung Haji Malaysia dan akan dilancarkan ‘soft launching’ penubuhan RAJIH.

“Kerjasama yang baik dan erat di antara UUM dan Tabung Haji akan menjadi pemangkin penyelidikan haji di peringkat nasional dan antarabangsa, sekali gus menghubungkan UUM dengan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) terbesar di Malaysia iaitu Tabung Haji,” ujarnya.
Turut hadir bersama, Prof Madya Dr Mohd. Farihal Osman dan Dr. Nashirah binti Abu Bakar bagi membincangkan Penubuhan RAJIH Tabung Haji di UUM. – Prof. Madya Dr. Mohd. Farihal Osman