Gambar Pusat Kaunseling dan Pembangunan Kerjaya/UUM Today
SINTOK: Kajian Pengesanan Graduan (Tracer Study) Kebolehpasaran Graduan (GE) Universiti Utara Malaysia (UUM) pada tahun 2022 telah mencatatkan sebanyak 94.4 peratus, meningkat 10 peratus berbanding GE pada tahun 2021 iaitu 84.4 peratus.
Lonjakan ini membuktikan bahawa graduan UUM mudah mendapat tempat sebaik sahaja tamat pengajian. Oleh itu, satu Lawatan Penanda Aras dan Bengkel Pengurusan Sistem Kajian Pengesanan Graduan (SKPG) dari Pusat Kebolehpasaran Graduan dan Kerjaya (PKGK), Universiti Malaya (UM) ke Pusat Kaunseling dan Pembangunan Kerjaya (PKPK) UUM selama tiga hari bermula 17 September lalu.

Pengarah PKPK, Dr. Fikriyah Abdullah berkata, Bengkel Pengurusan SKPG ini bertujuan untuk berkongsi amalan pengurusan data SKPG terutamanya visualisasi data SKPG menggunakan aplikasi ‘Workstation’ dengan delegasi PKGK, UM.
“Mereka ingin mempelajari cara untuk menghasilkan papan pemuka (dashboard) yang mesra pengguna dan interaktif kepada Pusat Tanggungjawab Akademik bagi tujuan rujukan data SKPG dan penjanaan analisis.
“Saya berharap agar lawatan dan bengkel ini dapat membantu pihak UM dalam penyediaan visualisasi data SKPG sepanjang sesi perkongsian pengurusan data SKPG,” ujarnya.

Lawatan dan bengkel ini diwakili oleh Pengarah PKGK, Dr. Iskandar Abdullah; Penolong Pendaftar PKGK, Nabila Muhamad Shidik dan Penolong Pendaftar PKGK, Nadia Syahira Rosli.
Menurut Dr. Iskandar, pihaknya berterima kasih kepada PKPK UUM kerana sudi menerima lawatan dan berkongsi ilmu yang dapat membantu mereka dalam mempelajari amalan pengurusan data SKPG.
Turut serta, Timbalan Pengarah PKPK, Shahrin Ahmad; Pegawai Psikologi, Muhammad Noor Fitri Ahmad; Pegawai Psikologi, Nur Farah Johari dan Penolong Pegawai Tadbir, Anas Lutifi Othman Lutifi. – Anis Zulaikha Kamal