MANTIN – Seramai 24 orang pemain golf dari Universiti Utara Malaysia (UUM) dan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) berentap dalam Kejohanan Golf Persahabatan yang berlangsung 18 Februari 2023.
Kejohanan persahabatan yang berlangsung di Staffield Country Resort, Mantin Negeri Sembilan itu merupakan penganjuran yang pertama oleh UUM melalui Akademi Golf Nasional, Universiti Utara Malaysia (AGNUUM). Ia turut menggabungkan pensyarah UUM serta pegawai-pegawai kanan dari KPT.

Berucap dalam majlis meraikan para pemenang, Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan Tinggi, Dato’ Seri Abdul Razak Jaafar berkata, golf merupakan sukan yang istimewa kerana ia menjadi ruang serta peluang untuk KPT mendapatkan input berguna daripada universiti bagi tujuan perancangan masa hadapan.
“Networking yang terjalin dalam sukan golf itu penting dan besar maknanya kerana pihak saya (KPT) boleh mengambil input yang baik dari Universiti Awam (UA) untuk sebarang perancangan akan datang”.
Sementara itu, Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) Yang Menjalankan Fungsi Naib Canselor UUM, Prof. Dr. Shahimi Mohtar, kejohanan tersebut dianjurkan bagi meraikan hubungan kerjasama yang baik antara Seksyen Sukan KPT dan UUM melalui AGNUUM yang mana telah berjaya mengendalikan Pusat Kecemerlangan Sukan (PKS) Golf KPT dengan penuh dedikasi serta mencapai pelbagai kejayaan pada peringkat kebangsaan mahupun antarabangsa.
“Kejohanan ini diadakan bertujuan untuk mengeratkan lagi hubungan di antara pengurusan tertinggi UUM secara amnya dan AGNUUM secara khususnya dengan pihak KPT.
Selain itu, dengan adanya penganjuran tersebut ia mampu memperkukuhkan lagi jalinan silaturrahim sesama pelajar di bawah AGNUUM.
Shahimi menjelaskan bahawa sukan golf bukan sahaja dikhaskan kepada golongan elit seperti yang didakwa oleh masyarakat. Sebaliknya beliau melihat bahawa sukan golf adalah untuk semua masyarakat. Namun baginya, pendedahan bakat-bakat baharu perlu dipupuk agar lahir generasi pemain baharu yang bakal membawa kejayaan.
Adalah menjadi hasrat UUM yang telah dilantik sebagai Pusat Kecemerlangan Golf dan dengan usaha AGNUUM sebagai pelopor kepada mandat tersebut, maka diharapkan kejohanan ini dapat menimbulkan kesedaran dan minat masyarakat Malaysia umumnya kepada sukan golf,” Katanya.
Menurutnya lagi, penganjuran ini membentuk lebih banyak jaringan dalam kalangan pemain untuk berkongsi pendapat dan kepakaran masing-masing untuk mempromosikan lagi sukan golf di kalangan masyarakat serta pelajar.
Beliau juga berharap agar pertandingan golf ini akan diteruskan lagi pada masa akan datang demi memperkukuhkan lagi hubungan dan rangkaian antara semua pemain golf dalam kalangan staf universiti awam di Malaysia.

Kejohanan Golf Persahabatan Kementerian Pendidikan Tinggi menyaksikan tiga pemain terbaik mengungguli kejohanan iaitu, tempat ketiga disandang oleh Timbalan Setiausaha Kementerian Pendidikan Tinggi, Dato’ Pekan Ramli. Manakala Pensyarah dari Pusat Pengajian Kerajaan (COLGIS) Dr. Muslimim Wallang di kedudukan tempat kedua.
Pensyarah Pusat Pengajian Pengurusan Industri Kreatif dan Seni Persembahan (SCIMPA) UUM, Prof. Madya Dr. Adzrool Idzwan Ismail, berjaya merangkul gelaran Pemain Terbaik Keseluruhan kejohanan. Manakala bagi kategori Kumpulan Terbaik Keseluruhan pula dinobatkan kepada pasukan KPT.