Gambar OYAGSB/UUM Today
KUALA LUMPUR: Universiti Utara Malaysia (UUM) menerusi Othman Yeop Abdullah Graduate School of Business (OYAGSB) telah menjalin kerjasama dengan pihak Kerajaan Aceh dalam bidang pendidikan tinggi khususnya sejak 2010 lagi.
Malah, seramai 38 pelajar terpilih dari Aceh telah diberikan peluang untuk melanjutkan pengajian mereka dengan mendapat biasiswa penuh di peringkat sarjana dan kedoktoran di bawah OYAGSB.
Atas kerjasama itu, kesemua mereka di mana 34 graduan sarjana telah berjaya menamatkan pengajian masing-masing, manakala graduan PhD terakhir telah berjaya mengenggam ijazah pada 2020.

Bagi mengukuhkan lagi hubungan antara kedua-dua pihak, OYAGSB terus berusaha untuk mengaktifkan semula memorandum perjanjian yang telah dimeterai agar ia seiring dengan hasrat OYAGSB untuk terus melihat peluang-peluang baru dalam memperkukuhkan hubungan di peringkat antarabangsa serta melahirkan lebih banyak graduan cemerlang dalam bidang perniagaan dan pengurusan.
Dekan OYAGSB, Prof. Dr. Hassan Abu Bakar berkata, OYAGSB telah mengemukakan cadangan bagi beberapa siri program Pembangunan Eksekutif serta promosi program akademik termasuk MBA dan PhD kepada pegawai tinggi Kerajaan Aceh.
Menurutnya, rangka program ini merupakan langkah penting dalam memperkukuhkan hubungan yang sedia ada dan membina jalinan yang lebih kukuh dalam bidang pendidikan dan perkembangan profesional.
“Ia bertujuan untuk meneruskan dan mengukuhkan kerjasama yang telah terjalin. Justeru OYAGSB telah menerima lawatan dari Badan Pengembangan Sumber Daya Manusia (BPSDM) Kerajaan Aceh bagi melanjutkan perbincangan di Pejabat OYAGSB Kuala Lumpur pada 9 Ogos lalu.
“Lawatan tersebut menandakan komitmen kedua-dua pihak dalam memperkukuhkan kerjasama yang bermanfaat dan memberi impak positif kepada pembangunan dan pemantapan ilmu dalam bidang perniagaan dan pengurusan,” ujarnya.
Dalam konteks ini, kata Dr. Hassan, pelbagai inisiatif telah diketengahkan dengan tujuan memperluas ruang kolaborasi serta memberikan peluang pembelajaran yang unggul kepada pegawai-pegawai kanan Kerajaan Aceh.
Delegasi BPSDM disertai Dr. Chalili Putra, Reza Hidayat Syah dan Samsul Bahri.
Hasil lawatan tersebut, pihak delegasi telah bersetuju dengan rangka program yang telah dicadangkan dan sebagai langkah pertama, satu program Pembangunan Eksekutif dijadualkan untuk dilaksanakan di Kuala Lumpur pada November depan yang akan melibatkan penyertaan 20 pegawai dari Aceh.

Tambah Dr. Hassan, program ini dirancang dengan teliti dan akan melibatkan beberapa pakar terkemuka dari pelbagai industri besar di sekitar Kuala Lumpur. Ini merupakan peluang berharga bagi peserta untuk mendapatkan pandangan mendalam mengenai isu-isu semasa dan trend dalam dunia perniagaan.
“Selain itu, program ini juga akan merangkumi lawatan industri untuk memberi pendedahan langsung kepada peserta kepada beberapa syarikat terkemuka di sini. Antara matlamat utama program ini adalah untuk memberikan nilai tambah yang signifikan kepada semua peserta.
“Diharapkan setiap individu yang mengambil bahagian akan mendapat manfaat daripada pengetahuan dan pengalaman yang diperoleh. Kejayaan program ini dijangka tidak hanya memberi impak positif kepada peserta, tetapi juga membuka peluang yang lebih luas untuk kerjasama berterusan antara UUM dan pihak Kerajaan Aceh,” katanya.
UUM berharap bahawa inisiatif ini akan terus berkembang dan memberikan manfaat yang berkekalan kepada semua pihak yang terlibat.