UUM Today

Your Reliable Digital Information

Powered by DaysPedia.com
Time in %PlaceName now
1023

UUM lahir usahawan, jadi penyedia peluang pekerjaan

Nordiana Shafiee

Nordiana Shafiee

UUM News Editor, Journalist

Gambar Unit Foto dan Media/UUM Today

SINTOK: Universiti Utara Malaysia (UUM) berhasrat melahirkan ramai usahawan dalam kalangan pelajarnya dengan memberi pendedahan dan latihan dalam dunia perniagaan.

Naib Canselor, Prof. Dr. Mohd Foad Sakdan berkata, melalui teori dan praktis industri, UUM mahu usahawan yang dilahirkan ini menjadi penyedia peluang pekerjaan kepada masyarakat.

Hari ini, graduan di Pusat Pengajian Pengurusan Perniagaan (SBM) adalah mereka yang terlatih selepas SBM menubuhkan Hub Latihan Keusahawanan atau SETH dengan penglibatan 200 pelajar.

Menurutnya, mereka telah didedahkan dengan ilmu perniagaan dan keusahawanan secara ‘hands-on’ di mana SETH telah berkolaborasi dengan 10 organisasi besar seperti FAMA, PUNB dan Nestle, menerusi kiosk perniagaan minuman Nescafe dan Synmac Corporation serta Celcom Digi Axiata.

Kata beliau, nilai kolaborasi bagi tahun 2023 adalah sebanyak RM150,000, sekali gus menunjukkan SBM fokus untuk menerapkan ilmu keusahawanan secara praktikal dalam kalangan pelajarnya.

“Selain itu, UUM juga telah melahirkan graduan yang berpendapatan RM15,000 sebulan yang merupakan graduan kohort pertama bagi program Sarjana Muda Keusahawanan (Mod 2u2i).

“Pelajar kohort kedua program ini sedang berada dalam industri dengan bimbingan usahawan sebagai mentor mereka. Hasil kerjasama strategik SBM dengan 21 buah organisasi industri, 21 mentee usahawan kini sedang dibimbing dalam selok-belok pengurusan, perniagaan dan keusahawanan,” katanya yang menyampaikan ijazah kepada 711 graduan dari SBM yang hadir bagi sesi kelapan di Majlis Konvokesyen Ke-36, pagi ini.

Dalam usaha melahirkan graduan berdaya saing terutama dalam era dunia digital, UUM tidak boleh meminggirkan teknologi kecerdasan buatan (AI) yang akan menjadi sebuah ciptaan berkeupayaan membuat keputusan bebas.

Dr. Mohd Foad berkata, fasa dominasi manusia dalam sejarah akan berakhir dan akan digantikan dengan AI di mana kemajuan AI boleh membawa kepada kebaikan ataupun sebaliknya.

Dalam hal ini, menurutnya, universiti berfungsi sebagai sebuah gerbang ilmu yang memainkan peranan penting dalam menyebarkan ilmu teknologi AI.

“Isu yang lebih penting dalam konteks pembangunan AI bukan terletak pada aspek hard sciences sahaja, tetapi aspek soft sciences juga, memainkan fungsi yang sama pentingnya. UUM sebagai sebuah universiti pengurusan yang memiliki ramai pakar boleh mencari keharmonian di antara manusia dengan AI.

“Kita perlu bersedia dan memastikan manfaat daripada pembangunan teknologi AI ini melebihi daripada jangkaan kesan negatifnya dan kita perlu sentiasa bersedia dari pelbagai aspek walau apa pun kesannya kepada tamadun,” ujarnya.