UUM Today

Your Reliable Digital Information

Powered by DaysPedia.com
Time in %PlaceName now
1023

UUM, LZNK tarik golongan muda Orang Asli untuk belajar

Nordiana Shafiee

Nordiana Shafiee

UUM News Editor, Journalist

Gambar IPIZ/UUM Today

BALING: Bagi menarik golongan muda dalam kalangan Orang Asli, Institusi Penyelidikan dan Inovasi Zakat (IPIZ), Universiti Utara Malaysia (UUM) dengan kerjasama Lembaga Zakat Negeri Kedah (LZNK) serta 20 ahli Kelab Perkim UUM telah menganjurkan Program Jalinan Kasih bersama Masyarakat Orang Asli di Baling, baru-baru ini.

Pengarah Program, Prof. Madya Dr. Mohd Farihal Osman berkata, program julung kali itu bertujuan untuk mengeratkan lagi hubungan antara pelajar universiti dengan masyarakat di perkampungan Orang Asli Ulu Legong.

Menurutnya, menerusi program ini dapat membantu masyarakat di sini mengenai pentingnya ilmu pendidikan terhadap kanak-kanak serta menjaga kebajikan penduduk setempat.

Kata beliau, masyarakat di sini juga turut memberi kerjasama dengan menyertai setiap aktiviti yang telah dianjurkan oleh IPIZ dan pelajar.

‘’Kita ingin menyantuni budaya dan tata kehidupan Orang Asli dengan ilmu pengetahuan di mana rombongan daripada UUM telah mendedahkan mengenai kepentingan ilmu pengetahuan dan juga pendidikan demi masa depan anak-anak mereka.

“Pada masa sama, kita mahu menyemaikan sifat ingin menuntut ilmu dalam kalangan masyarakat Orang asli terutama kepada generasi muda,” ujarnya.

Pelbagai aktiviti yang telah dijayakan yang memberi penekanan tentang agama serta pendidikan. Antara aktiviti yang diadakan termasuklah sukaneka, ceramah agama dan eksplorasi hutan bersama masyarakat di sini.

Sementara itu, Pengarah IPIZ, Dr. Ahmad Khilmy Abdul Rahim berkata, program seperti itu akan diteruskan lagi pada masa akan datang di mana ia dilihat memberi manfaat kepada komuniti.

Tambahnya, program ini juga memberi peluang kepada anak-anak Orang Asli untuk menuntut ilmu sehingga mampu ke menara gading seperti orang biasa.

“Setakat yang dimaklumkan, hanya seorang daripada 300 lebih penduduk Orang Asli di sini yang telah sampai ke menara gading.

“Usaha daripada pihak IPIZ adalah untuk menambah bilangan anak-anak Orang Asli untuk turut menyambung pelajaran di peringkat yang lebih tinggi iaitu di mana-mana universiti di Malaysia,” kata beliau.

Program Jalinan Kasih Bersama Masysrakat Orang Asli itu turut mendapat kerjasama UDA Holdings Berhad, Yayasan Takwa MAIWPS dan Yayasan CNI. – Muhammad Hallaj Mohammad Said