UUM Today

Your Reliable Digital Information

Powered by DaysPedia.com
Time in %PlaceName now
1023

UUM mampu lahirkan pelajar bergelar usahawan berjaya

Nordiana Shafiee

Nordiana Shafiee

UUM News Editor, Journalist

Gambar Shamsaimi Ezil/UUM Today

SINTOK: Universiti Utara Malaysia (UUM) memberi sokongan penuh kepada usahawan muda lebih-lebih lagi pelajar UUM dalam mengembangkan sektor perniagaan persendirian yang mampu mencorak masa depan pelajar.

Naib Canselor, Prof. Dr. Mohd Foad Sakdan berkata, Pelan Tindakan Keusahawanan IPT 2021-2025 yang digariskan oleh Kementerian Pendidikan Tinggi menyaksikan transformasi signifikan dalam landskap keusahawanan di IPTA, khususnya melibatkan UUM.

Menurutnya, sejak tahun 2016 hampir RM43 juta telah dilaburkan untuk menyokong agenda keusahawanan, mencerminkan visi bersepadu yang diilhamkan oleh Dasar Keusahawanan Negara 2030 (DKN2030).

“Matlamat untuk menjadi negara keusahawanan menjelang tahun 2030 adalah suatu manifestasi yang diilhamkan dan membawa semangat reformasi dalam pendidikan tinggi.

“Sebagai agen perubahan utama, UUM dilihat dapat memimpin dalam merealisasikan matlamat ini dengan kebijaksanaan dan dedikasi yang membanggakan,” katanya pada Majlis Majlis Anugerah Usahawan Pelajar dan Usahawan Belia (SYEBA) 2023 di EDC UUM, semalam.

Mengulas tentang SYEBA, Dr. Mohd Foad berkata, ia merupakan satu pertemuan intelektual antara usahawan muda untuk berkongsi pengetahuan dan maklumat berkenaan keusahawanan.

Tambah beliau, majlis tersebut dianjurkan sebagai salah satu program bagi mendorong pelajar bermotivasi untuk terus menceburi bidang keusahawanan sebagai salah satu bidang kerjaya di masa akan datang.

Sementara itu, Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) UUM, Prof. Dr. Russayani Ismail berkata, keusahawanan memainkan peranan penting dalam pembangunan negara.

“Sebagai universiti, kita perlu memainkan peranan utama dalam membentuk landskap pembangunan keusahawanan,” katanya.

Majlis itu turut menyaksikan penerima Anugerah Keusahawanan UUM Kategori Lelaki dimenangi oleh Danish Aiman Ahmad Rizal dengan projek usahawan ‘Eyeday’, manakala Anugerah Keusahawanan UUM Kategori Kategori Wanita dimenangi oleh Nik Anis Aishah Nik Mohd Azmi dengan produk usahawan ‘MYS London Gallery’.

Selain itu, 10 lagi anugerah disampaikan kepada pemenang terdiri daripada Anugerah Jualan Tertinggi (Berpremis), Jualan Tertinggi (Tapak Sementara), Perniagaan Atas Talian Terbaik, Projek Keusahawanan Sosial Terbaik, Perusahaan Pelajar Terbaik, Usahawan Pelajar Inovasi Dan Teknologi, Keusahawanan Paling Aktif (Pusat Pengajian) Keusahawanan Paling Aktif (Inasis), Usahawan Harapan serta Anugerah Khas CEDI.

Hadir sama, Timbalan Setiausaha Bahagian, Seksyen Kebolehpasaran Graduan & Keusahawanan, Bahagian Perancangan Strategi, Kementerian Pendidikan Tinggi, Nooraidah Abdullah; Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) merangkap Menjalankan Fungsi Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa), Prof. Dr. Ahmad Martadha Mohamed dan Pengarah, Institut Pembangunan Keusahawanan dan Koperasi (CEDI), Dr. Hasnizam Hasan. – Nor Erna Jaslia Mohamad Adam (Pelajar Pelatih dari SMMTC)