UUM Today

Your Reliable Digital Information

Powered by DaysPedia.com
Time in %PlaceName now
1023

UUM, MSN meterai LOI luas jaringan kerjasama

Nordiana Shafiee

Nordiana Shafiee

UUM News Editor, Journalist

Gambar Hairul Nizam Zahari/UUM Today

SINTOK: Universiti Utara Malaysia (UUM) dan Majlis Sukan Negara Malaysia (MSN) telah menandatangani Surat Hasrat (LOI) bagi meluaskan jaringan kerjasama antara kedua pihak khususnya dalam pembangunan bidang sukan.

Surat Hasrat itu ditandatangani oleh Naib Canselor UUM, Prof. Dr. Mohd Foad Sakdan dan Ketua Pengarah MSN, Dato’ Ahmad Shapawi Ismail di Balai Tamu, Canselori Sultan Sallehuddin, hari ini.

Dr. Mohd Foad berkata, UUM bertuah kerana berpeluang untuk memeterai jalinan kerjasama dengan MSN demi kepentingan bersama dan juga sebagai usaha untuk mengukuhkan lagi kolaborasi yang sedia terjalin antara kedua-dua pihak.

Menurutnya, dengan jalinan kerjasama ini kelak lebih banyak program perkongsian pengetahuan, program penyelidikan dan program pembangunan idea-idea baru berkaitan pengurusan dan pembangunan sukan dapat dilaksanakan bagi manfaat UUM dan MSN.

“Saya melihat segala usaha kerjasama ini adalah relevan dalam mengukuhkan lagi agenda pembangunan atlet di peringkat negeri dan negara dalam usaha membangun, melahirkan dan mengetengahkan atlet terdiri daripada kalangan pelajar IPT ke peringkat antarabangsa.

“Kerjasama ini adalah sejajar dengan misi UUM untuk mendidik pemimpin berperwatakan holisitik untuk berbakti kepada komuniti global, justeru jalinan hubungan ini juga secara tidak langsung akan memberi nilai tambah kepada pelajar melalui pengurusan dan pembangunan sukan yang memfokuskan kepada sifat kepimpinan dan ilmu pengetahuan untuk kegunaan di masa hadapan,” ujar beliau.

Sementara itu, Ahmad Shapawi berkata, MSN ingin jalinkan kerjasama yang lebih kuat dengan UUM kerana beliau melihat universiti ini memiliki potensi besar dalam pembangunan sukan negara.

Menurutnya, dalam memastikan persekitaran sukan negara diberi nafas baru, MSN perlu melalui proses penambahbaikan khususnya melibatkan peringkat IPTA.

“MSN sudah mula melaksanakan satu gerakan untuk menjadikan universiti sebagai pusat latihan kepada atlet pembangunan bakat dan UUM antara universiti yang memiliki kelengkapan itu.

“Kita ingin mencari bakat baru dan tidak boleh bergantung kepada atlet sedia ada, tetapi MSN tidak boleh bergerak sendirian dan memerlukan rakan-rakan untuk mencari bakat-bakat atlet ini di pelbagai peringkat bermula di sekolah hingga IPTA,” katanya.

Tambah beliau lagi, MSN mempunyai hasrat besar untuk bekerjasama dengan UUM dan berharap selepas menandatangani LOI ini, akan diikuti memorandum persefahaman untuk menjadikan UUM sebagai pusat latihan mengasah bakat atlet berusia antara 15 hingga 17 tahun, seterusnya 21 tahun.

Ahmad Shapawi berharap jalinan kerjasama antara MSN dan UUM akan dapat direalisasikan untuk mengetengahkan pelbagai bidang sukan selain sukan golf yang ada di UUM.

Hadir sama, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Prof. Dr. Ahmad Martadha Mohamed; Pengarah Bahagian Bakat dan Pembangunan Wanita, MSN, Mohd Safrusahar Yusof dan pegawai-pegawai kanan universiti.