UUM Today

Your Reliable Digital Information

Powered by DaysPedia.com
Time in %PlaceName now
1023

UUM naib johan Pertandingan NCCC 2023

Nordiana Shafiee

Nordiana Shafiee

UUM News Editor, Journalist

Gambar Dr. Muhammad Hafiz Badarulzaman

SINTOK: Pasukan Advokasi dan Mut Universiti Utara Malaysia (UUM) telah dinobatkan sebagai naib johan dalam pertandingan Harun M. Hashim National Client Consultation Competition (NCCC 2023) Peringkat Kebangsaan anjuran Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), baru-baru ini.

Pertandingan ini diadakan saban tahun bagi memilih universiti yang mempunyai program Sarjana Muda Undang-Undang mewakili Malaysia dalam pertandingan peringkat antarabangsa.

Pelajar tahun tiga program Sarjana Muda Undang-Undang, Kareena Gaur Gill berkata, dia sangat teruja dan bangga dengan pencapaian dalam pertandingan kali ini.

“Kami berasa bangga dapat mengharumkan nama UUM dan berasa amat gembira kerana segala usaha kami membuahkan hasil.

“Walaupun tidak berjaya mendapat tempat pertama, kami telah memperoleh banyak ilmu yang dapat membantu dalam perjalanan kami bukan sahaja sebagai pelajar undang-undang, malah dalam kerjaya apabila tamat pelajaran kelak,” katanya.

Berkongsi cabaran yang perlu dihadapi dalam pertandingan itu, menurut Kareenaa, antara cabaran yang dihadapi ialah situasi untuk mendapatkan fakta yang tersirat dalam cerita yang disampaikan oleh klien, memastikan nasihat yang disampaikan mempunyai keseimbangan dari segi undang-undang dan aspek psikologi serta memperoleh kepercayaan penuh oleh klien.

Manakala Parmeenjit Kaur Charanjit Singh yang juga pelajar tahun tiga program Sarjana Muda Undang-Undang bersyukur dengan kejayaan yang dikecapi pasukan mereka.

“Kami bersyukur dan gembira atas kemenangan ini walaupun baru kali pertama menyertai pertandingan sebegini dan hanya mempunyai masa yang singkat untuk membuat persiapan.

“Terima kasih juga kepada pihak pengurus pasukan dan pasukan simpanan yang memberikan sokongan. Kami menghargai bantuan dan tunjuk ajar yang diberikan oleh Dr. Muhammad Hafiz Badarulzaman selaku jurulatih dan berharap kejayaan ini dapat memberi inspirasi kepada pelajar lain untuk turut menyertai pertandingan sebegini,” ujarnya.

Pada pertandingan itu, setiap pasukan perlu memenangi hati klien dalam sesi temubual bagi mendapatkan maklumat yang relevan serta menyediakan jawapan dan penyelesaian yang terbaik dari sudut undang-undang dan pengurusan emosi.

Pertandingan ini diadili oleh pengamal undang-undang dan kaunselor bertauliah. Semasa pusingan akhir, Pasukan Advokasi dan Mut UUM bertemu dengan pasukan UIAM.

Majlis penyampaian hadiah telah disempurnakan oleh peguam kanan dari Shook Lin & Bok selaku penaja rasmi pertandingan ini.