UUM Today

Your Reliable Digital Information

Powered by DaysPedia.com
Time in %PlaceName now
1023

UUM peringati Hari AIDS Sedunia 2023

Nordiana Shafiee

Nordiana Shafiee

UUM News Editor, Journalist

Gambar Muhammad Shamsul Shafie/UUM Today

SINTOK: Bagi memupuk kesedaran tentang wabak AIDS, Universiti Utara Malaysia (UUM) telah menyambut Hari AIDS Sedunia Peringkat Negeri Kedah di Foyer Perpustakaan Sultanah Bahiyah.

Hari AIDS Sedunia yang disambut pada 1 Disember setiap tahun mengangkat tema ‘Let Communities Lead’ seperti yang ditetapkan oleh Joint United Nation Programme on HIV and AIDS (UNAIDS), manakala Malaysia telah memilih slogan ‘Komuniti Peneraju Bersama’.

Naib Canselor, Prof. Dr. Mohd Foad Sakdan berkata, bersempena sambutan Hari AIDS Sedunia ini, semua golongan sama ada pelajar mahupun orang awam diseru untuk mengambil peluang dan kesempatan ini untuk mendapatkan atau meningkatkan pengetahuan mengenai kesihatan dan HIV/AIDS serta mengamalkan cara hidup sihat bagi memastikan diri bebas dari sebarang penyakit.

Menurutnya, jalani saringan dan ketahui status kesihatan diri serta ambil tindakan sewajarnya bagi mencegah wabak tersebut.

Kata beliau, Hari AIDS Sedunia disambut untuk meningkatkan kesedaran masyarakat khususnya mengenai jangkitan HIV/AIDS, langkah-langkah kawalan, pencegahan dan rawatan serta penjagaan ke arah mengakhiri AIDS menjelang tahun 2030.

“Malaysia pernah berjaya menurunkan jangkitan baru sehingga 50 peratus di antara tahun 2000 dan 2009. Namun, mulai tahun 2010 sehingga kini, kadar penurunan semakin lembab iaitu hanya 24 peratus di antara 2010 hingga 2022.

“Menjadi hasrat negara untuk mengakhiri AIDS sebagai ancaman kesihatan awam pada tahun 2030 di mana negara harus menurunkan jangkitan HIV sehingga 90 peratus mulai tahun 2010. Kegagalan menurunkan kadar jangkitan secara tuntas akan menyebabkan penularan terus berlaku secara senyap,” katanya dalam teks ucapan yang dibacakan oleh Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Prof. Dr. Ahmad Martadha Mohamed pada Majlis Perasmian Majlis Sambutan Hari AIDS Sedunia 2023 Peringkat Negeri Kedah di Foyer Perpustakaan Sultanah Bahiyah, semalam.

Sementara itu, Timbalan Pengarah Kesihatan Negeri (Kesihatan Awam) Jabatan Kesihatan Negeri Kedah, Dr. Norizan Ahmad menzahirkan ucapan terima kasih kepada pihak UUM atas kerjasama melancarkan program Hari AIDS Sedunia pada tahun ini.

Beliau juga menekankan tentang kesedaran masyarakat tentang HIV/AIDS.

Turut berlangsung semasa majlis perasmian ialah persembahan ‘jump rope’ oleh murid Sekolah Kebangsaan Jitra 2, selain pelbagai aktiviti antaranya ialah ‘Fun Run’, pertandingan video TikTok dan Pertandingan Poster Terbaik.

Hadir sama, Presiden Persatuan Cahaya Harapan Negeri Kedah Perlis, Dr. Kamarulzaman Ali dan Pegawai Kesihatan Daerah Kubang Pasu, Dr. Mohd Hisham Ahmad Kusairi.

Sebelum itu, diadakan UUM Fit yang berlangsung di Stadium Pusat Sukan pada sambutan Hari AIDS Sedunia. – Nor Erna Jaslia Mohamad Adam (Pelajar Pelatih dari SMMTC)