UUM Today

Your Reliable Digital Information

Powered by DaysPedia.com
Time in %PlaceName now
1023

UUM perkasa kesedaran autisme

Nordiana Shafiee

Nordiana Shafiee

UUM News Editor, Journalist

Oleh Iliya Nurul Iman Mohd Ridzuan
Gambar Nadzatul Fariha Abdul Rasid/UUM Today

SINTOK, 4 April – Seramai 552 peserta dari dalam dan luar Universiti Utara Malaysia (UUM) telah menyertai program webinar secara hibrid yang bertajuk “Sokongan Intervensi Anak di Rumah: Apa Peranan Ibu Bapa?” sempena program UUM Menyantuni Autisme 2024 dan serentak dengan Hari Kesedaran Autisme Sedunia pada Selasa lalu.

Program anjuran Jawatankuasa Jaringan Industri dan Masyarakat, Pusat Pengajian Bahasa, Tamadun dan Falsafah (SLCP) itu diadakan di Dewan Auditorium, Pusat Pengajian Antarabangsa (SoIS).

Webinar tersebut disampaikan oleh Pensyarah Kanan Pusat Pengajian Pendidikan, Dr. Nazmin Abdullah di mana dalam sesi itu beliau berkongsi pengalaman membesarkan dua orang anak autisme dan peranan berterusan perlu dimainkan oleh ibu bapa bagi merangsang perkembangan anak istimewa ini.

Beliau yang juga merupakan Pengerusi Perlis Special Teens Centre (PeSTeC) turut memperincikan beberapa kaedah intervensi yang bersesuaian yang boleh diupayakan dalam persekitaran harian.

Selain memberikan kesedaran kepada masyarakat secara am tentang autisme, program ini turut bermatlamat untuk memperlihatkan kepentingan pengesanan awal ciri-ciri autisme dan perlunya ibu bapa serta guru memberi sokongan kepada anak-anak yang berhadapan dengan autisme.

Timbalan Dekan Penyelidikan dan Inovasi SLCP, Dr. Sharifah Fazliyaton Shaik Ismail berkata, masyarakat perlu komited dalam mewujudkan persekitaran yang positif dan inklusif bagi mencipta dunia yang dapat menerima masyarakat berkelainan neuro.

Menurutnya, program seumpama ini jelas menunjukkan komitmen UUM dan SLCP untuk memperkasakan golongan autisme dan kurang upaya, secara umumnya.

Program ini turut dijayakan dengan kehadiran pakar perubatan Jabatan Psikiatri dan Kesihatan Mental, Hospital Sultanah Bahiyah, Pegawai Pendidikan Daerah Kubang Pasu, wakil Independent Living Centre (ILC) UUM, wakil Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI), wakil Persatuan Staf UUM yang mempunyai anak istimewa (PERISAI), agensi kerajaan dan badan bukan kerajaan serta warga pendidik.