UUM Today

Your Reliable Digital Information

Powered by DaysPedia.com
Time in %PlaceName now
1023

UUM peroleh akreditasi antarabangsa AMBA

Nordiana Shafiee

Nordiana Shafiee

UUM News Editor, Journalist

Gambar OYAGSB/UUM Today

SINTOK: Universiti Utara Malaysia melalui Othman Yeop Abdullah Graduate School of Business (OYAGSB) berjaya memperoleh akreditasi semula daripada Association of MBAs (AMBA), sebuah badan akreditasi antarabangsa bagi bidang pendidikan perniagaan bagi tempoh 5 tahun lagi.

AMBA yang berpusat di London, United Kingdom (UK) memberi pengiktirafan itu selepas OYAGSB menjalani proses audit akreditasi semula AMBA pada 13 dan 14 Jun lalu dan telah menerima keputusan rasmi, baru-baru ini.

Ketua Eksekutif AMBA dan Business Graduates Association (BGA), Andrew Main Wilson mengucapkan tahniah kepada OYAGSB atas kejayaan besar tersebut.

“Sekolah perniagaan ini adalah penting dalam sebahagian rangkaian eksklusif kami dan saya sangat gembira kerana mereka telah mendapat akreditasi semula,” ujarnya dalam satu kenyataan rasmi laman web AMBA.

Pencapaian OYAGSB itu turut diraikan Naib Canselor, Prof. Dr. Mohd Foad Sakdan yang melihat akreditasi semula AMBA itu adalah satu penghormatan kepada universiti.

Menurutnya, akreditasi semula AMBA ini memastikan bahawa OYAGSB berjaya mengekalkan pematuhan kepada standard pendidikan dan profesional tertinggi, selain memenuhi kriteria ketat yang ditetapkan oleh badan akreditasi tersebut.

“Kejayaan manis yang dikecapi hari ini adalah satu cabaran pada OYAGSB untuk terus harus menjadi juara dalam mempromosikan program MBA dan PhD di persada antarabangsa.

“Tahniah kepada semua ahli akademik serta staf pentadbiran dan profesional OYAGSB atas pencapaian cemerlang ini,” katanya.

Sementara itu, Dekan OYAGSB, Prof. Dr. Hassan Abu Bakar berkata, kejayaan ini adalah manifestasi usaha penambahbaikan yang berterusan dan sekerakanan warga OYAGSB.

“Alhamdulillah, terima kasih kepada Naib Canselor dan pengurusan universiti yang sentiasa memberi sokongan kepada OYAGSB.

“Insya-Allah, OYAGSB berada dalam landasan yang tepat untuk menjadi sebuah pusat pengajian perniagaan yang terbaik di rantau Asia dan di peringkat global,” ujar beliau.

OYAGSB telah memperoleh akreditasi AMBA sejak 2015, diikuti the Association to Advance Collegiate Schools of Business (AACSB) pada 2016, Central and Eastern Europe and Management Development (CEEMEN) pada 2018.

Pada 2020, OYAGSB untuk pertama kali disenaraikan dalam QS Global MBA dengan berada di kedudukan 201+ di dunia, 37 di Asia dan 6 di Asia Tenggara.

Malah, OYAGSB adalah satu-satunya sekolah perniagaan dari Malaysia yang tersenarai dalam QS Global MBA.