Gambar Rosma Ishak dan DBP
KUALA LUMPUR: Buat pertama kali buku imprin UUM Press Kreatif mendapat pengiktirafan tertinggi apabila memenangi anugerah Hadiah Sastera Perdana Malaysia 2019/2020 (HSPM), baru-baru ini.
Kemenangan menerusi karya Sasterawan Negara (SN) Profesor Emeritus Dr. Muhammad Haji Salleh iaitu Sebuah Lembah Kunamakan Tanah Air terbitan UUM Press tahun 2019 itu telah menerima hadiah wang tunai RM8,000 berserta sijil.
Panel penilai HSPM telah memilih karya tersebut bagi Kumpulan Puisi (Kategori A: Buku Sastera Dewasa) sebagai penerima HSPM 2019/2020.
Selain itu, UUM Press turut memenangi hadiah bagi terbitan buku dalam Kumpulan Cerpen Kanak-Kanak (Kategori C: Buku Sastera Kanak-Kanak) bertajuk Misi Mengintip hasil karya Ab Jalil Alimon.

Majlis penyampaian hadiah disempurnakan oleh Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan Malaysia, Datuk Yusran Shah Mohd. Yusof di Balai Budaya Tun Syed Nasir, Wisma Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP).
Ketua Pengarah DBP, Datuk Abang Sallehuddin Abang Shokeran merangkap Pengerusi Panel HSPM berkata, penulis ialah perakam zaman, anugerah hanyalah untuk mereka yang pandai mengolah bahasa yang membuatkan jiwa bergolak apabila membaca karya mereka.
Menurut beliau lagi, anugerah juga menjadi suntikan semangat kepada penulis baharu untuk matangkan minda dan cabaran besar dalam dunia teknologi sekarang adalah untuk mendapatkan ‘keaslian’ dalam berkarya.
Lebih kurang 70 penulis diraikan dalam majlis tersebut yang bertujuan untuk mengiktiraf karya sastera bermutu tinggi dalam pelbagai tahap karya sastera daripada penulis kanak-kanak, remaja hingga dewasa.
Pengkategorian pelbagai genre karya sastera terbahagi kepada Kategori A Buku Sastera Dewasa, Kategori B Karya Eceran, Kategori C Buku Sastera Kanak-kanak dan Kategori D Buku Sastera Remaja.
Kesemua pemenang menerima hadiah wang tunai bermula dengan RM500 bagi Hadiah Tunas Cipta untuk kategori penulis kanak-kanak.
HSPM dahulu dikenali sebagai Hadiah Karya Sastera mula dianjurkan sejak tahun 1971 sebelum bertukar nama kepada Hadiah Sastera Malaysia sehingga tahun 1995. Pada 1996, namanya ditukarkan kepada Hadiah Sastera Perdana Malaysia (HSPM) atas cadangan Timbalan Perdana Menteri ketika itu.
HSPM merupakan pengiktirafan tertinggi kerajaan Malaysia melalui DBP dan kekal sehingga ke hari ini.