UUM Today

Your Reliable Digital Information

Powered by DaysPedia.com
Time in %PlaceName now
1023

UUM Prihatin: TNC (HEPA) ziarah alumni sakit terlantar

Nordiana Shafiee

Nordiana Shafiee

UUM News Editor, Journalist

Gambar Pusat Alumni

ALOR SETAR: Universiti Utara Malaysia (UUM) terus menunjukkan keprihatinan terhadap alumninya menerusi kunjungan ‘Alumni Care’ yang diketuai Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Prof. Dr. Ahmad Martadha Mohamed ke atas NurulHuda Said yang menghidap kanser paru-paru tahap empat iaitu ‘squamous cell carcinoma’.

NurulHuda kini hanya terlantar di atas katil di rumahnya di Kampung Pengkalan Keriang sejak Disember tahun lalu kerana tidak dapat bergerak.

Kedatangan Ahmad Martadha bersama Timbalan Pengarah Pusat Alumni, Halim Md. Yatim dan Pengarah Jabatan Hal Ehwal Pelajar, Huzaidy Hussain serta pegawai lain itu telah disambut ibunya, Zawiah Omar.

Ahmad Martadha (dua, kiri) menyerahkan sumbangan kepada Zawiah. Gambar Pusat Alumni

Pada pertemuan itu, beliau menyampaikan sumbangan berupa barangan keperluan harian kepada keluarga NurulHuda.

Ahmad Martadha berkata, beliau berharap sumbangan diberikan UUM itu dapat meringankan bebanan keluarga NurulHuda, selain graduan UUM itu terus diberikan kesabaran dan ketabahan melalui ujian tersebut.

NurulHuda disahkan menghidap kanser itu pada tahun 2021 selepas tamat pengajian di UUM dalam Diploma Pendidikan dan kini hasratnya untuk bergelar seorang guru terpaksa dilupakan.

Ibunya berkata bahawa sel kanser itu sudah merebak ke tulang belakang dan sudah berada di tahap 4 menyebabkan anaknya tidak dapat bergerak.

Yang menjalankan fungsi Naib Canselor, Prof. Dr. Shahimi Mohtar yang juga Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) dan seluruh warga kampus turut mendoakan agar NurulHuda diberikan kesembuhan dan kembali sihat seperti dahulu.