Gambar Pusat Sukan
MELAKA: Kontinjen Universiti Utara Malaysia (UUM) berjaya meraih dua pingat emas, dua pingat perak dan lima pingat gangsa pada Karnival Sukan Majlis Sukan Universiti Malaysia (MASUM) 2023.
Karnival yang diadakan mengikut Fasa I dan II itu bermula pada 15 hingga 20 Ogos dan 23 hingga 30 Ogos lalu di Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) dan Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM).
Pingat emas diraih menerusi acara taekwondo dan petanque, seterusnya pingat perak pula menerusi acara taekwondo dan karatedo manakala pingat gangsa menerusi acara petanque dan karatedo.
Ketua Kontinjen, Dr. Nasiruddin Haron yang juga Pengarah Pusat Sukan mengucapkan tahniah kepada atlet UUM di atas kejayaan yang diperolehi pada kali ini.

Menurutnya, pingat emas bagi acara taekwondo kategori kyorugi lelaki 80-87 kg dimenangi pelajar Semester 6, Program Sarjana Muda Sains (Teknologi Maklumat), Muhammad Nooraizuddin Abdul Hamid yang telah menewaskan saingan dari UTeM.
Seterusnya, pingat emas kedua UUM telah disumbangkan menerusi acara petanque kategori individu wanita oleh pelajar Semester 6, Program Sarjana Diploma Pendidikan, Nursyafiqah Zakaria selepas menewaskan pesaing dari Universiti Teknologi MARA (UiTM) dengan pungutan mata 10-9 di pusingan akhir.
“Kejayaan kedua-dua atlet ini sehingga memenangi pingat emas telah melonjakkan nama UUM dalma MASUM.
“Pencapaian mereka ini juga secara tidak langsung menaikkan semangat atlet lain untuk memperoleh lebih banyak pingat termasuk perak dan gangsa,” ujarnya.

Pingat perak telah disumbangkan menerusi acara taekwondo Nur Zulaikha Arifah Abdul Rasid dalam kategori kyorugi wanita 62-67 kg dan pingat perak kedua menerusi Ghouthaman A/L Raman acara karatedo dalam kategori kumite lelaki -55 kg.
Sebanyak lima pingat gangsa telah disumbangkan menerusi acara petanque kategori beregu lelaki gandingan Muhammad Amir Fuharah Saidi dan Muhammad Fais Md Dzahir.

Pingat seterusnya juga menerusi acara petanque dalam kategori beregu wanita gandingan Aida Adila Md Azmi dan Nur Afiqah Nawawi.
Pingat gangsa seterusnya telah disumbangkan menerusi acara karatedo yang dimenangi Laura Lim Sie Yi dalam dalam kategori kumite wanita -68 kg dan kategori kumite berpasukan wanita gandingan Ooi Xue Er, Karren Jane Merisin dan Jacqualine Jane Merisin.
Manakala pingat gangsa terakhir UUM telah disumbangkan menerusi Nor Tahirah Shaza Mohd Zari dalam acara silat olahraga kategori putri kelas E.

UUM menyertai lima acara sukan daripada 15 acara yang dipertandingkan pada kejohanan kali ini iaitu taekwando, pencak silat, karatedo, petanque dan bola jaring.