Gambar Hairul Nizam Zahari/UUM Today
ALOR SETAR: Universiti Utara Malaysia (UUM) telah menjadi tuan rumah Mesyuarat Jawatankuasa Timbalan-timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) Universiti Awam (JKTNCPI UA) ke-68 yang berlangsung selama empat hari bermula 12 hingga 15 Julai ini.
Mengalukan kedatangan delegasi, UUM menerusi Pusat Pengurusan Penyelidikan dan Inovasi (RIMC) telah menganjurkan Majlis Makan Malam Mesyuarat JKTNCPI UA di Hotel Raia, semalam.
Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi), Prof. Dr. Russayani Ismail berkata, UUM berbesar hati menjadi tuan rumah bagi Mesyuarat TTNCPI UA kali ke-68 ini dan ia merupakan kali kedua UUM diberi penghormatan sebagai tuan rumah Mesyuarat JKTNCPI UA di mana kali pertama adalah pada 2019.

Menurutnya, selain menghadiri mesyuarat yang akan membincangkan permasalahan dan hala tuju serta perkongsian buah fikiran, turut diadakan Program Kerjasama Penyelidikan Rentas Sempadan di Prince of Songkla Universiti (PSU), Hatyai, Thailand pada Jumaat ini setelah mendapat persetujuan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT).
Kata beliau, program itu melibatkan perbincangan meja bulat dan lawatan ke sebahagian Pusat Kecemerlangan di PSU. Enam (6) topik utama yang akan dibincangkan ialah pelancongan, halal, keterjaminan makanan, khidmat komuniti dan ‘climate preparedness’.
“Sebahagian UA juga telah diberi tugasan untuk berkongsi berkenaan ‘the success story’ dan fokus penyelidikan yang telah dibangunkan di Universiti masing-masing.
“PSU selaku tuan rumah di Thailand juga begitu positif dalam penganjuran program tersebut dan turut menjemput beberapa universiti lain di Selatan Thailand untuk bersama-sama dalam program ini,” katanya.

Dr. Russayani berharap program itu menjadi platform terbaik kepada semua universiti awam Malaysia, KPT dan Univerisiti di Selatan Thailand menjalinkan kolaborasi strategik silang kepakaran dalam menghasilkan penyelidikan berimpak yang memberi manfaat bersama antara dua negara.
Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Timbalan-Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan & Inovasi) Universiti Awam Malaysia, Prof. Ir. Dr. Shaliza Ibrahim berkata, majlis makan malam itu merupakan penghargaan bagi meraikan jawatankuasa dan mengeratkan ukhuwah antara UA dan juga KPT.
Menurutnya, mesyuarat yang diadakan itu merupakan platform bagi membincangkan isu dan cadangan serta hala tuju TNCPI dan wakil KPT.
“Objektifnya adalah menjadi wadah perkongsian, pandangan dan amalan terbaik kepada pihak berkepentingan bersama demi kecemerlangan UA di mana pada program ini juga turut diadakan forum perbincangan.
“Menerusi perbincangan ini juga akan menjadi penyatuan kepada semua TNCPI untuk mencapai persetujuan untuk dikemukakan jeoad apihak kerajaan dan berkepentingan,” ujar beliau.

Dr. Shaliza berharap mesyuarat itu dapat membantu merencanakan hala tuju yang dihasratkan dan pada masa sama memastikan amalan konsep Madani dapat direalisasikan.
Majlis Makan Malam Mesyuarat Jawatankuasa Timbalan-Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan & Inovasi) Universiti Awam (JKTNCPI UA) Ke-68 itu turut dihadiri oleh Timbalan Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi (Akademik dan Pembangunan), Jabatan Pendidikan Tinggi, Prof. Dato’ Dr. Norzaini Azman; Pengarah Bahagian Kecemerlangan Penyelidikan IPT, Prof. Madya EUR ING. Ir. Ts. Dr. Shahiron Shahidan dan Naib Canselor, Prof. Dr. Mohd Foad Sakdan.