Gambar Mohd Fuad Hamid/UUM Today
SINTOK: Naib Canselor, Prof. Dr. Mohd Foad Sakdan mengingatkan pasukan debat yang akan mewakili Universiti Utara Malaysia (UUM) dalam Debat Diraja Antara IPT 2023 bermula 17 hingga 19 November ini agar menyasarkan gelaran johan pada pertandingan tersebut.
Pasukan debat UUM terdiri daripada 16 pelajar akan bertanding dalam empat kategori iaitu Utama Bahasa Melayu, Muda Bahasa Melayu, Utama Bahasa Inggeris dan Muda Bahasa Inggeris yang diadakan secara dalam talian.
Bagi kategori Utama Bahasa Melayu diwakili Amir Aiman Othman, Abdul Hakim Abdul Hamid, Mohammad Noor Aiman Hassan Nudin dan Mohamad Ihsan Bin Mohd Jawahir, manakala kategori Muda Bahasa Melayu disertai Faris Daniel Zainorizal, Muhammad Tirmizi Rabidin, Muhamad Azim Siddiq Mohd Nasir dan Nadjween Hanie Mohd Mayan.

Kategori Utama Bahasa Inggeris pula diwakili Trinity Bungan Tajang, Nur Shamirah Muhammad Al-Shafieq, Kishoretharan A/L Suppaiyah dan Yasmine Farhan Azran, manakala kategori Muda Bahasa Inggeris disertai Nuurul Sakinah Skhindaar Musang, Alya Farhana Mohd Azmi, Nadesh Ragunath dan Norsyara Syafiqah Saif Ridzuan Muralee.
Peringkat suku akhir, separuh akhir dan akhir Debat Diraja Antara IPT akan diadakan pada 15 hingga 17 Disember di UiTM Shah Alam.
Pada perjumpaan sama, Naib Canselor turut bertemu johan Pertandingan Akhir Debat Koperasi Peringkat IPT 2023 Piala Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi yang diadakan pada Oktober lalu.

Pasukan debat universiti diwakili Abdul Hakim Abd. Hamid, Faris Daniel Zainorizal, Muhammad Tirmizi Rabidin dan Mohammad Noor Aiman Hassan Nudin berjaya memenangi hadiah berupa wang tunai RM8,000, piala pusingan dan sijil pertandingan yang julung kali diadakan itu.
Dr. Mohd Foad berkata, kemenangan sebagai johan menunjukkan kebolehan pelajar UUM yang cekap dalam bidang pengurusan dan koperasi, selaras dengan universiti ini yang berfokuskan pengurusan.
Pada majlis sama, turut diadakan penyampaian surat penghargaan kepada enam pengawal keselamatan dari Jabatan Keselamatan yang telah membantu pelajar UUM terlibat dalam nahas kemalangan baru-baru ini.

Selain itu, Naib Canselor juga menyerahkan sumbangan komputer riba dan Bakul Rahmah kepada pelajar Sarjana Linguistik Terapan, Banan Ashour dari Palestin.
Hadir sama, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Prof. Dr. Ahmad Martadha Mohamed dan Supt. Hilmi Ahmad.