UUM Today

Your Reliable Digital Information

Powered by DaysPedia.com
Time in %PlaceName now
1023

UUM sokong pembangunan prasarana digital

Nordiana Shafiee

Nordiana Shafiee

UUM News Editor, Journalist

Gambar Mohd Fuad Hamid/UUM Today

SINTOK: Kemudahan aplikasi mudah alih sistem aduan JPP ‘Facility Management System‘ (FMS) membuktikan Universiti Utara Malaysia (UUM) sentiasa mendukung hasrat Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dalam pembangunan prasarana digital.

Naib Canselor, Prof. Dr. Mohd Foad Sakdan berkata, pembangunan aplikasi itu akan memudahkan warga UUM untuk melaporkan sesuatu kerosakan hanya dengan menggunakan telefon mudah alih sahaja.

Menurutnya, pembangunan JPP FMS itu secara tidak langsung telah menambah lagi kejayaan JPP dalam konteks fasiliti dan kemudahan kepada warga UUM.

Untuk rekod, JPP telah menerima aduan sebanyak 18,699 pada 2019, 11,749 aduan (2020), 11,742 aduan (2021) dan 22,500 aduan pada 2022, manakala bagi 2023 bermula Januari sehingga Jun pula sebanyak 6,482 aduan.

Dengan adanya JPP FMS yang dibangunkan oleh Jabatan Pembangunan dan Penyenggaraan (JPP) ini telah membantu menyelesaikan sebanyak 85 peratus aduan sejak ia digunakan secara rasmi pada Mac tahun lalu.

Fungsi aplikasi ini juga adalah sebagai tambahan saluran aduan sedia ada selain daripada talian ‘hotline’ 5555 dan laman sesawang fms.uum.edu.my

Tambah Dr. Mohd Foad, komitmen yang tinggi dari pihak JPP telah membolehkan UUM mempunyai pelbagai daya tarikan yang menjadi mercu tanda universiti seperti Pusat Sukan, Bulatan Masa dan juga Anjung Tamu.

“Saya yakin bahawa keunggulan dan kegemilangan sesuatu institusi atau organisasi adalah terletak kepada semangat persepakatan atau ‘esprit de corp’ yang tinggi dan dijiwai dan dihayati oleh seluruh anggota organisasi tersebut.

“Di samping itu, saya juga bangga mempunyai warga kerja yang komited, rajin dan progresif. Terimalah realiti bahawa UUM sememangnya rumah kedua tempat untuk kita mencari rezeki,” katanya pada Majlis Perhimpunan Bulanan dan Uum Fit Perdana Universiti Utara Malaysia serta Pelancaran Aplikasi Mudah Alih Sistem Aduan JPP FMS di Foyer Perpustakaan Sultanah Bahiyah, pagi tadi.

Perhimpunan bulanan bagi bulan Julai itu merupakan yang pertama disertai Dr. Mohd Foad sejak dilantik sebagai Naib Canselor pada 2 April lalu dan pada perhimpunan tersebut, beliau turut menekankan agar penjawat UUM tidak mengambil mudah tentang soal amanah, kejujuran dan integriti dalam perkhidmatan sebagai penjawat awam di universiti ini.

JPP FMS mula dibangunkan pada 2019 bagi menggantikan sistem aduan sedia ada JPP iaitu ‘Computerized Maintenance Management Information System’ (CCMIS) yang diguna pakai oleh JPP sejak 2006.

Pada 2021, JPP telah menerima peruntukan daripada KPT melalui projek di bawah Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK-11) untuk menambahbaik aplikasi tersebut di mana sistem aduan JPP terdahulu mengguna pakai sistem secara manual (pengisian borang) sebelum berubah ke digital.

Warga UUM boleh memuat turun aplikasi itu di Google Play bagi pengguna Android atau App Store untuk pengguna iOS, selain layari portal staf UUM dengan memasukkan nama pengguna dan kata laluan.