SINTOK – Persidangan antarabangsa bertemakan ‘Isu Utama dalam pendidikan, Undang-undang dan Komunikasi di Asia Tenggara’ berlangsung selama dua hari di Bilik Mesyuarat Utama, Pusat Pengajian Teknologi Multimedia dan Komunikasi (SMMTC), Universiti Utara Malaysia (UUM), Sintok.
Dekan SMMTC, Prof Madya Dr Mohd Khairie Ahmad merasmikan seminar yang disertai oleh 36 peserta dari UIN Mataram dan UUM.
“Moga pembentangan kertas kerja mengenai isu-isu berkaitan pendidikan, komunikasi dan undang-undang ini akan memberi faedah kepada kedua-dua universiti ini,’ ujarnya ketika merasmikan seminar itu.

Beliau yakin dengan persediaan yang dilakukan ini semestinya akan mencapai objektifnya.
Dalam pada itu wakil dari UIN Mataram, Prof Dr H. Fahrurrozi M.A. ketika ditemui amat gembira kerana seminar ini dapat dijalankan secara bersemuka setelah tertangguh akibat COVID-19.
“Pastinya hasil dari pembentangan dan perbahasan yang dijalankan ini akan memberi kebaikan serta input-input yang amat berguna kepada kedua-dua universiti ini,” ujarnya ketika ditemui.
Sempena kehadiran delegasi ini mereka juga berkesempatan untuk melihat sendiri persekitaran Restoran Tasik, Taman Rusa, Pusat Sukan UUM, Varsity Mall, Welcome Centre dan Litar Go-kart.
Program yang dianjurkan ini juga adalah lawatan timbal balas UUM- UIN Mataram ketika menandatangan Memorandum Persefahaman (MoU) dan Memorandum Perjanjian (MoA) dengan SMMTC pada 29 Mei 2023 di Indonesia.

Semoga lawatan dari UIN Mataram ini membuka ruang kepada kedua-dua pihak SMMTC dan UIN Mataram untuk mengukuhkan lagi kerjasama dan kepakaran dalam bidang akademik serta merancang aktiviti-aktiviti di bawah MoU dan MoA.
Antara kerjasama yang dijalankan ialah penawaran program Sarjana Sains Komunikasi Kepengurusan oleh UUM dan Sarjana Sains Kewartawanan Multimedia oleh UIN Mataram kepada pelajar di bawah tajaan Kementerian Agama Indonesia (KEMENAG).