UUM Today

Your Reliable Digital Information

Powered by DaysPedia.com
Time in %PlaceName now
1023

UUM ulangi kecemerlangan dalam Anugerah Laman Web Malaysia

Nordiana Shafiee

Nordiana Shafiee

UUM News Editor, Journalist

Gambar Pusat Pengajian Pengurusan Perniagaan (SBM)/UUM Today

SUBANG JAYA: Universiti Utara Malaysia (UUM) menempa kejayaan sekali lagi apabila pensyarah Pusat Pengajian Pengurusan Perniagaan (SBM), Ts. Dr. Mathivannan a/l Jaganathan berjaya mengharumkan nama UUM setelah dinobatkan sebagai pemenang Anugerah Laman Web Kegemaran 2022 dalam kategori Laman Web Peribadi sempena Majlis Anugerah Laman Web Malaysia 2022 yang berlangsung di The Grand Ballroom, Geno Hotel.

Kemenangan ini menandakan kejayaan keempat Dr. Mathivannan, sekali gus mengukuhkan lagi kedudukannya dalam bidang dunia digital.

Menurut Dr. Mathivannan, laman web peribadi yang dibangunkan olehnya telah merekodkan jumlah pelawat yang ramai, hasil kandungan web yang menarik dan menjadikannya layak dipilih sebagai pemenang.

“Kemenangan ini adalah sebagai tanda penghargaan atas sumbangan UUM khususnya SBM kepada landskap digital.

“Pada saya anugerah ini bukan sekadar pertandingan, ia adalah platform yang mempamerkan semangat inovatif dan kehebatan teknikal profesional web Malaysia. Sebagai pemenang edisi 2022, saya menetapkan standard yang tinggi untuk calon anugerah masa depan supaya ia memberi inspirasi kepada generasi baharu khususnya pakar-pakar web di negara ini,” katanya.

Dalam majlis anugerah yang berprestij itu, Dr. Mathivannan berjaya membawa pulang trofi, sijil kecemerlangan dan wang kemenangan sebanyak RM3,000.

Pencapaian ini bukan sahaja menyerlahkan kemahirannya dalam inovasi digital tetapi juga menekankan kualiti dan impak kehadirannya dalam talian.

Anugerah Laman Web Malaysia (MWA) yang dianjurkan oleh Kumpulan Syarikat Exabytes, penyedia pengehosan web terkemuka di Asia Tenggara bertujuan untuk mengiktiraf dan meraikan bakat dan usaha luar biasa pembangun web, pereka bentuk dan agensi web terbaik di Malaysia.

Acara tahunan ini merupakan penanda aras untuk kecemerlangan dalam domain digital, menggalakkan profesional untuk menolak sempadan reka bentuk dan pembangunan web. – Roslee Mardan