UUM Today

Your Reliable Digital Information

Powered by DaysPedia.com
Time in %PlaceName now
1023

UUM – UMK meterai MoU tangani kemiskinan

Siti Fatimah Abdullah

Siti Fatimah Abdullah

UUM Feature Editor and journalist for UUM TODAY news portal

Sintok: Universiti Utara Malaysia (UUM) dan Universiti Malaysia Kelantan (UMK) menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) dalam usaha membantu menangani kemiskinan.  

Naib Canselor, Prof. Dr. Mohd Foad Sakdan berkata, kerjasama berkenaan membolehkan kedua-dua pihak bekerjasama bagi melaksanakan kolaborasi dalam bidang akademik, penyelidikan, perkongsian kepakaran, pengurusan kemiskinan dan keusahawanan sosial.

“Usaha ini adalah selaras dengan aspirasi UUM untuk menggerakkan dan mengaktifkan lagi jalinan kerjasama dengan pelbagai pihak di peringkat nasional dan antarabangsa.

“Saya berharap agar melalui hubungan kerjasama ini, lebih banyak program akademik, penyelidikan dan keusahawanan sosial akan dilaksanakan bagi manfaat kedua-dua pihak,” ujarnya.

Menurutnya, jalinan kerjasama ini dapat dimanfaatkan sepenuhnya dan akan memberikan impak yang positif dalam perkembangan akademik, penyelidikan, keusahawanan sosial dan perkongsian kepakaran.

Beliau turut menzahirkan kesyukurankerana dapat bersama-sama bertemu pada majlis yang bersejarah dan segala usaha ini adalah relevan dalam mengukuhkan lagi agenda pembangunan ummah.

“UUM amat bertuah kerana berpeluang untuk memeterai jalinan kerjasama dengan pihak UMK sebagai usaha untuk mengukuhkan lagi kolaborasi yang sedia terjalin antara negeri Kedah dan Kelantan,” ucapnya pada Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) Antara UUM dan UMK di Balai Tamu, semalam.

Sementara itu, Naib Canselor, UMK, Prof. Dato’ Dr. Razli Che Razak berkata, seramai 2,556 pelajar UMK terdiri daripada asnaf dan fakir miskin yang perlu dibantu dan diberi perhatian. 

“Menerusi usaha sama ini kita dapat membincangkan kaedah, menjalankan projek   dan memikirkan bagaimana menangani isu kemiskinan memandangkan angka tersebut semakin meningkat.

“Kami di UMK selalu menjadikan UUM sebagai tanda aras tambahan pula UUM diiktiraf sebagai universiti awam nombor satu terbaik di Malaysia oleh Times Higher Education (THE) Young University Rankings 2023,” ujarnya. 

Beliau mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada Institut Penyelidikan dan Inovasi Zakat (IPIZ) dan berharap kerjasama ini dapat membantu menangani kemiskinan.

Pada majlis ini, UUM diwakili oleh Institut Penyelidikan dan Inovasi Zakat (IPIZ) manakala UMK pula diwakili oleh Institut Penyelidikan dan Pengurusan Kemiskinan (InsPek).