UUM Today

Your Reliable Digital Information

Powered by DaysPedia.com
Time in %PlaceName now
1023

UUM usaha 6 peratus gaji awal graduan RM4,000 sebulan

Nordiana Shafiee

Nordiana Shafiee

UUM News Editor, Journalist

Gambar Muhammad Shamsul Shafie/UUM Today

SINTOK: Universiti Utara Malaysia (UUM) menyasarkan graduannya menerima gaji lebih RM4,000 bagi memenuhi ‘Graduate Mean Income’ (GMI) selepas tamat pengajian.

Ini susulan kejayaan peningkatan peratusan kebolehpasaran graduan (GE) UUM sebanyak 10 peratus pada tahun lalu yang menjadi penanda aras untuk universiti terus berusaha lebih gigih lagi.

Naib Canselor, Prof. Dr. Mohd Foad Sakdan dalam ucapan beliau merakamkan penghargaan dan ucapan tahniah kepada pasukan Task Force GE atas komitmen diberikan sehingga membolehkan GE UUM meningkat 10 peratus pada tahun lalu.

Menurutnya, kenaikan tersebut sekali gus melonjak kedudukan UUM dari tangga ke-17 ke tangga ke-13 dalam kalangan universiti di Malaysia.

“Saya berharap kejayaan ini akan diteruskan lagi pada tahun hadapan di mana kita perlu lebih fokus kepada pembaharuan dari GE kepada GMI mengikut keperluan program pusat pengajian dan struktur yang betul.

“Malah universiti juga perlu bersiap sedia dari awal dengan meletakkan sasaran 6 peratus bagi GMI ini dengan sasaran purata gaji diterima graduan UUM adalah RM4,000 ke atas,” ujar beliau pada Majlis Apresiasi Ahli Jawatankuasa Task Force Kebolehpasaran Graduan (GE) 2022 di EDC UUM, baru-baru ini.

Sementara itu, Pengarah Pusat Kaunseling dan Pembangunan Kerjaya, Jabatan Hal Ehwal Pelajar (JHEP), Dr. Fikriyah Abdullah berkata, pencapaian kenaikan GE universiti bagi tahun 2022 ini telah menjadi kebanggaan kepada semua staf di mana peratusan pencapaian telah meningkat dari 84.4 peratus kepada 94.4 peratus, sekali gus menaikkan martabat ranking GE UUM.

Tambahnya, memandangkan pencapaian GE 2022 telah meningkat, maka bagi tahun 2023, Pusat Kaunseling dan Pembangunan Kerjaya perlu berusaha dengan lebih keras lagi bagi menaikkan GE 2023 dan secara tidak langsung akan membantu menaikkan nama UUM.

“Saya juga ingin berterima kasih kepada semua yang terlibat secara langsung atau tidak langsung bagi menjayakan agenda universiti ini terutamanya kepada mantan Pengurus Pusat Pembangunan Kerjaya UUM pada tahun lalu iaitu Shahrin Ahmad serta staf di Pusat Pembangunan Kerjaya (CDC), Jabatan Hal Ehwal Pelajar,” katanya.

Hadir sama, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Prof. Dr. Ahmad Martadha Mohamed; Pengarah JHEP, Muhammad Iskandar Zulkarnain Muhammad Suhaimi dan Dekan Hal Ehwal Pelajar, Prof. Madya Dr. Massudi Mahmuddin. – Noorhanani Atirah Suhaime