UUM Today

Your Reliable Digital Information

Powered by DaysPedia.com
Time in %PlaceName now
1023

UUM, USM berkongsi amalan pengurusan terbaik kampus lestari

Nordiana Shafiee

Nordiana Shafiee

UUM News Editor, Journalist

Gambar Bahagian Perancangan Korporat (BPK)/UUM Today

GELUGOR: Bahagian Perancangan Korporat (BPK), Universiti Utara Malaysia telah mengadakan lawatan penanda aras ke Pejabat Timbalan Naib Canselor, Universiti Sains Malaysia (USM), Pulau Pinang, baru-baru ini.

Pengarah BPK, Prof. Madya Dr. Mazni Omar berkata, tujuan lawatan penanda aras ini adalah untuk mengetahui dan mempelajari amalan pengurusan terbaik yang diamalkan oleh USM dalam aspek kampus lestari sehingga diiktiraf di peringkat global.

Kedatangan delegasi UUM telah disambut oleh Timbalan Naib Canselor (Jaringan Industri dan Masyarakat) USM, Prof. Dr. Azlan Amran dan Timbalan Pendaftar Bahagian Jaringan Industri Dan Masyarakat, Mohd Faizal Md Osman.

Tambah Dr. Mazni, lawatan ini telah memberi input berkaitan dengan tadbir urus serta usaha-usaha yang telah dan akan dilakukan oleh USM dalam mempromosikan agenda kelestarian kampus USM serta usaha menjayakan Matlamat Pembangunan Mampan (SDGs).

Sementara itu, Dr. Azlan yang mengalu-alukan kedatangan delegasi BPK telah menerangkan hala tuju agenda kelestarian serta tadbir urus yang diamalkan di USM.

Antara inti pati sesi perkongsian ialah proses mengurus penghantaran data THE-IR, fungsi CGSS dalam menjayakan agenda kelestarian, inisiatif dan aktiviti yang telah dan akan dijalankan di peringkat USM.

USM telah diiktiraf sebagai universiti keempat terbaik dunia dalam menyokong Matlamat Pembangunan Mampan (SDGs) untuk tahun 2022 dan 2023 oleh Times Higher Education Impact Rankings, sebuah badan penarafan universiti yang berpangkalan di London.

Turut berkongsi pengalaman agenda kelestarian pada sesi ini juga ialah Timbalan Pengarah Pusat Kajian Kelestarian Global (CGSS), Dr. Noor Adelyna Mohammed Akib; Penyelaras Times Higher Education Impact Rankings (THE-IR), Dr. Normaliza Abdul Manaf dan Penyelaras Kampus Sejahtera, Ahmad Wafi Sahedan. – Muhamed Nor Azman Nordin