UUM Today

Your Reliable Digital Information

Powered by DaysPedia.com
Time in %PlaceName now
1023

UUM, UTeM bekerjasama dalam pengurusan teknologi

Nordiana Shafiee

Nordiana Shafiee

UUM News Editor, Journalist

Gambar Ihsan Facebook Naib Canselor UTeM/UUM Today

MELAKA: Universiti Utara Malaysia (UUM) dan Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) mencapai kesepakatan untuk berkolaborasi dalam bidang pengurusan teknologi.

Naib Canselor UUM, Prof. Dr. Mohd Foad Sakdan berkata, UUM menerusi Pusat Pengajian Pengurusan Teknologi dan Logistik (STML) akan bekerjasama dengan UTeM dalam apa jua bidang yang boleh melonjakkan lagi kecemerlangan kedua-dua universiti.

“Walaupun secara umumnya kita melihat UUM dan UTeM berlainan bidang tetapi saya percaya kedua-dua universiti ini pada prinsipnya mempunyai bidang tujahan yang berlainan tetapi ia menjadi peluang dan ruang untuk kita berkerjasama dalam membina kejayaan.

“Saya berharap kerjasama strategik antara kedua-dua institusi ini akan memanfaatkan pelbagai pihak bukan sahaja pemegang taruh dan pelajar, malahan memberi impak kepada komuniti,” katanya.

Pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) antara UUM dengan UTeM, baru-baru ini ditandatangani Dr. Mohd Foad dan Naib Canselor UTeM, Prof. Datuk Ts. Dr. Massila Kamalrudin dengan disaksikan oleh Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) UTeM, Prof. Dr. Zulkifilie Ibrahim dan Dekan STML, Prof. Dr. Nor Hasni Osman.

Sementara itu, Dr. Massila berkata, pihaknya berasa sangat bertuah kerana UTeM sekali lagi secara rasminya telah melebarkan lagi jaringan kerjasama di antara salah sebuah institusi pengajian tinggi awam yang tersohor di Malaysia iaitu UUM, ‘The Eminent Management University’.

Menurutnya, kolaborasi di antara institusi pengajian tinggi awam merupakan salah satu inisiatif strategik yang perlu diberikan penekanan bagi memartabatkan universiti di peringkat nasional dan antarabangsa.

“Tahniah diucapkan kepada Fakulti Pengurusan Teknologi dan Teknousahawanan (FPTT) kerana telah berjaya mewujudkan kerjasama erat ini dalam memberi nilai tambah yang positif kepada aktiviti penyelidikan, pendidikan, penyeliaan dan pengurusan di antara kedua belah pihak.

“Melalui kerjasama ini, UTeM akan dapat meningkatkan keupayaannya menghasilkan graduan yang kompeten, berkualiti tinggi serta memenuhi keperluan dan permintaan industri,” ujar beliau.

Tambahnya lagi, pemeteraian MoU antara pihak UTeM dan UUM dapat membawa kedua-dua institusi ini mencapai kecemerlangan pendidikan tinggi dalam negara dan antarabangsa.

Dr. Massila berkata, dalam mendepani pelbagai cabaran dan isu-isu semasa, jalinan kerjasama ini amat penting untuk memastikan penyelesaianya adalah mengikut acuan yang betul, justeru melalui kerjasama strategik ini, pelaksanaan program yang lebih holistik, tersusun dan terselaras mampu untuk dilaksanakan khususnya dalam membantu UTeM dan UUM terutamanya dari segi tahap penarafan dunia.

Katanya, beliau berharap MoU antara UTeM dan UUM yang termeterai ini juga akan memberikan lembaran baharu dan nafas yang lebih segar kepada kerjasama antara UTeM dan universiti-universiti terkemuka dalam negara, seterusnya memberi manfaat kepada semua yang terlibat.

Turut hadir, Timbalan Dekan (Akademik dan Antarabangsa) STML, Prof. Madya Dr. Norsiah Hami; Timbalan Dekan (Penyelidikan dan Inovasi) STML, Prof. Madya Ts. Dr. Mohd Kamarul Irwan Abdul Rahim serta pegawai-pegawai kanan UUM dan UTeM. – Salina Ali