UUM Today

Your Reliable Digital Information

Powered by DaysPedia.com
Time in %PlaceName now
1023

UUM wakil tunggal Kedah untuk pencalonan Anugerah KKP 2023

Nordiana Shafiee

Nordiana Shafiee

UUM News Editor, Journalist

Gambar Hairul Nizam Zahari/UUM Today

SINTOK, 18 Mac – Universiti Utara Malaysia (UUM) menjadi wakil tunggal negeri Kedah untuk pencalonan Anugerah Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (KKP) Peringkat Kebangsaan 2023.

Naib Canselor, Prof. Dr. Mohd Foad Sakdan berkata, UUM telah tercalon sebagai sebuah universiti awam dalam kategori Institusi Pengajian Tinggi mewakili negeri Kedah, justeru satu lawatan bagi menilai tahap pengurusan keselamatan dan kesihatan pekerjaan telah diadakan.

Menurutnya, lawatan penilai ini menjadi satu mekanisme pemacu dalam meningkatkan tahap pengurusan keselamatan dan kesihatan pekerjaan di UUM serta memupuk kesedaran KKP dalam kalangan warga UUM.

Katanya, pencalonan UUM ke anugerah ini menjadi satu pencapaian yang baik bagi universiti yang membuktikan bahawa UUM serius dalam memperkasakan sistem pengurusan KKP.

“Saya berharap pihak DOSH dapat memberi penilaian yang sebaiknya pada hari ini dan UUM dengan tangan terbuka menerima segala teguran penambahbaikan yang bakal dikeluarkan oleh DOSH pada akhir sesi hari ini.

“Saya yakin dan percaya semua warga UUM menginginkan keputusan yang terbaik dalam penyertaan julung-julung kalinya dalam Anugerah KKP kali ini,” katanya pada Majlis Pembukaan Sesi Penilaian Pertama Anugerah KKP 2023 di Bilik Senat, pagi ini.

Sementara itu, Penolong Pengarah Kanan DOSH Kedah merangkap Ketua Penilai Anugerah KKP 2023, Ir. Khushaida Ahmad Khiri berkata, anugerah ini merupakan acara setiap tahun sejak diperkenalkan pada 1995.

Menurutnya, Anugerah KKP ini mendapat 313 penyertaan dari pelbagai kategori dengan 37 anugerah ditawarkan merangkumi sembilan kategori utama dipertandingkan.

Turut diadakan sesi taklimat yang disampaikan Timbalan pengarah Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan, Bahagian Pengurusan Risiko, UUM, semakan terhadap dokumen KKP dan lawatan ke tempat kerja terpilih.

Hadir sama, Timbalan-timbalan Naib Canselor; Pemeriksa Kilang dan Jentera DOSH Kedah merangkap Penilai Anugerah KKP 2023, Maimunah Ariffin dan Pendaftar UUM merangkap Pengerusi Jawatankuasa Keselamatan dan Kesihatan, Ahmad Rasidi Abdullah.