UUM Today

Your Reliable Digital Information

Powered by DaysPedia.com
Time in %PlaceName now
1023

Wanita hamil 3 bulan dicekup berkhalwat

Nordiana Shafiee

Nordiana Shafiee

UUM News Editor, Journalist

Gambar Ihsan PADKM dan Harian Metro

Sungai Petani: Wanita hamil tiga bulan antara yang dicekup berkhalwat bersama tujuh pasangan lain dalam operasi oleh Pejabat Agama Daerah Kuala Muda sempena Malam Tahun Baru 2023 di sekitar daerah ini, semalam.

Dalam operasi itu, berusia 20-an itu turut mengaku pernah terlanjur, malah mempunyai dua anak hasil hubungan sulitnya dengan pasangan berlainan.

Dalam serbuan di sebuah hotel bajet di Padang Temusu kira-kira jam 12.30 tengah malam itu, wanita berkenaan ditahan bersama pasangan yang juga berusia 20-an.

Pegawai Agama Daerah Kuala Muda, Mohd Noor Ismardi Ismail berkata, wanita yang belum berkahwin itu mengaku sedang hamil tiga bulan dan dua anaknya yang masih kecil itu dikatakan kini berada dalam jagaan keluarga.

Beliau berkata, hasil ujian saringan air kencing wanita berkenaan dan pasangannya mendapati mereka positif dadah, malah mereka turut gagal menunjukkan MyKad apabila diminta dan memberi alasan hilang.

Dalam serbuan berasingan, sepasang kekasih didapati berpura-pura tidur sewaktu serbuan dijalankan di sebuah hotel di bandar sama sekitar jam 1.06 pagi.

“Berikutan itu, anggota penguatkuasa terpaksa menggunakan kunci pendua selepas mengetuk pintu bilik beberapa kali disebabkan pasangan itu enggan membukanya, namun gagal apabila pintu dikunci dari dalam.

“Pihak kami akhirnya berjaya membuka pintu bilik berkenaan dan hasil pemeriksaan mendapati terdapat seorang lelaki berpura-pura tidur di atas katil manakala pasangannya tidur di bawah,” kata Mohd Noor Ismardi.

Menurutnya, hasil pemeriksaan lanjut mendapati, mereka mengaku sudah bertunang dan sedang mengikuti pengajian di peringkat diploma di sebuah kolej di Perak.

Kata beliau lagi, mereka memberi alasan datang ke Sungai Petani untuk menyambut Tahun Baru 2023.

Kesemua tujuh pasangan yang ditahan dalam operasi malam tadi disertai 50 anggota dari Pejabat Agama Daerah Kuala Muda dan JHEAIK, Majlis Perbandaran Sungai Petani Kedah, Cawangan Penyiasatan Khas Angkatan Tentera Malaysia, Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK), Skuad Badar dan imam serta ahli jawatankuasa masjid.

Mohd Noor Ismadi berkata, kesemua yang ditahan kemudian dibawa ke balai polis berhampiran untuk laporan tangkapan dan diminta untuk hadir mengikut tarikh ditetapkan bagi siasatan lanjut.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 25 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Negeri Kedah 2014 kerana disyaki berkhalwat yang memperuntukkan denda maksimum RM3,000 atau dua tahun penjara atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.