UUM Today

Your Reliable Digital Information

Powered by DaysPedia.com
Time in %PlaceName now
1023

Warga kampus kekal aktif, ceria, cergas  

Siti Fatimah Abdullah

Siti Fatimah Abdullah

UUM Feature Editor and journalist for UUM TODAY news portal

Sintok – Berjalan kaki beramai-ramai menggalakkan warga kampus menjalani hidup yang aktif, ceria dan cergas.   

Jalan kaki senaman yang mudah tidak perlu modal malah baik untuk kesihatan seperti melancarkan darah, mengawal berat badan, mengurangkan stres, jantung sihat, turunkan kolesterol dan mengurangkan risiko diabetis.

Itu inisiatif yang dilakukan oleh Jabatan Sumber Manusia dengan kerjasama Pusat Sukan UUM yang mempromosikan gaya hidup sihat pada Program UUM Fit 2024 yang berlangsung di Stadium UUM, pagi tadi.

Naib Canselor, Prof. Dr. Mohd Foad Sakdan berkata, aktiviti yang melibatkan staf akademik dan pentadbiran dari pelbagai jabatan ini dapat merapatkan silaturahim, di samping menyemarakkan lagi sambutan Hari Pengasasan UUM ke-40 Tahun.

“Saya teruja kita dapat bersama-sama warga kampus menjayakan aktiviti riadah ini yang menyuntik semangat kebersamaan serta menjaga kesihatan diri,” ujarnya.

Beliau merakamkan jutaan terima kasih kepada warga kampus dengan semangat kesukanan yang ditunjukkan dalam menjayakan aktiviti santai sekali gus membentuk warga kampus yang sihat dan produktif dalam menjalani kehidupan seharian.  

Bermula dengan sesi pemanasan badan, peserta berjalan 10,000 langkah bermula di astaka Pusat Sukan melewati Taman Rusa, Padang Golf, Inasis Bank Muamalat sebelum kembali semula ke astaka.

Pada majlis sama, Naib Canselor turut melancarkan pertandingan bola sepak di kalangan ahli akademik yang mewakili UUM COB, UUM CAS dan UUM COLGIS.

Pemainan yang dijalankan secara 11 sebelah ini telah tamat sekitar jam 1 petang yang dimenangi oleh UUM CAS melalui sepakan penalti 4-3 antara UUM CAS dan UUM COB.