UUM Today

Your Reliable Digital Information

Powered by DaysPedia.com
Time in %PlaceName now
1023

Waris staf UUM terima manfaat caruman lebih RM85,000

Nordiana Shafiee

Nordiana Shafiee

UUM News Editor, Journalist

Gambar Mohd Fuad Hamid

SINTOK: Universiti Utara Malaysia (UUM) terus menunjukkan keprihatinan atas kebajikan staf dengan penyerahan cek manfaat Skim Takaful Berkelompok MKSK kepada tiga waris yang mencarum.

Penyerahan replika cek dengan nilai keseluruhan RM88,024.90 itu disampaikan Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) yang menjalankan fungsi Naib Canselor, Prof. Dr. Shahimi Mohtar kepada anak Allahyarham Hairil Anuar Md Akil, Muhammad Adham (RM 44,000); waris Shafina Din yang kematian suami, Allahyarham Farid Zakaria (RM24,000) dan Ruzaidi Ramli, suami kepada Azizah Ramli yang menghidap penyakit kritikal menerima manfaat berjumlah RM20,024.90.

Hadir sama pada sesi penyerahan tersebut ialah Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Prof. Dr. Ahmad Martadha Mohamed; Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi), Prof. Dr. Russayani Ismail; Pendaftar, Ahmad Rasidi Abdullah dan wakil Takaful Ikhlas Family Berhad, Suhaimi Ismail.

Waris kepada staf UUM hadir menerima cek manfaat Skim Takaful Berkelompok MKSK.

Shahimi dalam ucapannya berkata, ketiga-tiga staf berkenaan telah memberi sumbangan dan jasa yang banyak kepada pembangunan universiti selama mereka berkhidmat.

“UUM telah kehilangan besar dua staf iaitu Allahyarham Hairil Anuar dan Allahyarham Farid, manakala bagi Azizah pula, saya doakan agar dia kembali sembuh seperti sedia kala.

“Di samping itu, saya juga ingin menyarankan agar semua staf UUM untuk mencarum dalam skim yang diperkenalkan oleh universiti pada 2018. Pengurusan universiti sentiasa prihatin dengan kebajikan staf, justeru dengan adanya perlindungan ini juga akan dapat meringankan beban waris untuk meneruskan kehidupan sekiranya berlaku perkara tidak diingini,” katanya di Bilik Mesyuarat Naib Canselor, pagi tadi.

Mohd Nasir mewakili kakaknya, Shafina menerima cek Skim Takaful Berkelompok MKSK.

Sementara itu, suami Azizah, Ruzaidi yang merupakan staf di Pusat Kesihatan Universiti berkata, dia bersyukur dan berterima kasih kepada Takaful Ikhlas, pengurusan UUM, Jabatan Pendaftar dan MKSK atas penyerahan cek manfaat skim tersebut.

Menurutnya, manfaat yang diterima itu sedikit sebanyak dapat membantu isterinya untuk meneruskan rawatan sehingga sembuh sepenuhnya.

“Isteri saya masih menjalani rawatan di Hospital Sultanah Bahiyah setelah dikesan menghidap penyakit kanser pada awal tahun lalu.

“Inilah pentingnya menyertai Skim Takaful Berkelompok MKSK kerana ia membantu sebagai jaminan apabila berlaku sesuatu perkara yang tidak disangka. Justeru, saya ingin sarankan kepada staf UUM agar mengambil skim ini meskipun caruman tidak banyak tetapi manfaat yang diterima sekurang-kurangnya akan meringankan bebanan,” ujarnya.

Manakala Mohd Nasir Din, adik kepada Shafina juga menggalakkan agar staf UUM mengambil Skim Takaful Berkelompok  MKSK dari Takaful Ikhlas ini yang dilihat sebagai satu keperluan sekarang.

Katanya, manfaat skim itu sangat membantu kakaknya untuk membesarkan tiga anaknya sejak kematian suami pada penghujung tahun lalu.

Untuk rekod, pada masa kini jumlah penyertaan staf dan ahli keluarga yang mencarum Skim Takaful Berkelompok MKSK adalah 1,148 orang dan jumlah tuntutan manfaat yang telah diterima adalah sebanyak RM220,000.