UUM Today

Your Reliable Digital Information

Powered by DaysPedia.com
Time in %PlaceName now
1023

Wayang kulit Padang Asun tarik minat pelajar

Nordiana Shafiee

Nordiana Shafiee

UUM News Editor, Journalist

Gambar Persatuan KERSANI UUM dan Exco Kebudayaan Inapan Siswa MAS

SINTOK: Sebagai pendedahan kepada seni persembahan wayang kulit, Persatuan KERSANI UUM dan Exco Kebudayaan Inapan Siswa (Inasis) MAS telah menganjurkan Program Jom Tengok Wayang Kulit Padang Asun di Dewan Bunga Raya, Inasis MAS, baru-baru ini.

Persembahan wayang kulit tersebut dimainkan oleh kumpulan Wayang Kulit Padang Asun atau turut dikenali sebagai Wayang Kulit Gedek.

Wayang Kulit Padang Asun yang pada asalnya menggunakan nama Wayang Kulit Seri Asun merupakan sebuah seni persembahan wayang kulit yang diasaskan sempena nama sebuah pekan kecil iaitu Asun yang terletak berdekatan dengan Kampung Kunluang di Jitra.

Pengarah program, Khairunnisa Khairil Anwar berkata, program sebegini dilihat perlu diadakan bagi menyuntik kecintaan pelajar UUM terhadap budaya dan kesenian yang wujud di Malaysia.

Menurutnya, persembahan yang dibawakan oleh kumpulan Wayang Kulit Padang Asun itu ibarat menyedarkan anak muda terdiri pelajar UUM bahawa seni tradisional masih lagi wujud, di samping memberikan hiburan kepada penonton.

Manakala Exco Kebudayaan Persatuan KERSANI, Anis Wahidatul Nureen yang turut merasakan kehadiran Wayang Kulit Padang Asun ke UUM akan menjadikan pelajar UUM sebagai pelajar yang tidak akan melupakan kebudayaan tanah air.

“Kehadiran penonton yang mencecah 200 orang membuktikan kewujudan rasa ingin menghayati khazanah budaya dan seni negara masih lagi kuat dalam anak muda,” katanya.

Memetik laporan dari memorikedah.com, Pengasas Wayang Kulit Padang Asun, Mohd Noh Mahmud atau Pak Noh berkata, perkataan ‘gedek’ ialah pergerakan patung-patung wayang kulit itu sendiri yang terlompat-lompat atau tergedik-gedik mengikut bahasa Melayu Kedah apabila ianya digerakkan atau dimainkan di kelir atau layar.

Kemahiran Tok Dalang dalam kumpulan wayang kulit Padang Asun terserlah apabila beliau bijak mengaitkan penceritaannya dengan suasana UUM yang seterusnya mendatangkan keterujaan pelajar UUM.

Keistimewaan kumpulan Wayang Kulit Padang Asun ini terletak pada loghat yang digunakan iaitu loghat utara. Antara peralatan muzik yang digunakan sewaktu pertunjukan wayang kulit berlangsung adalah canang, serunai, gedombak, gedok dan gong. Peralatan muzik ini dimainkan oleh pemuzik dalam kumpulan Wayang Kulit Padang Asun sebagai muzik latar yang membantu dalam merancakkan lagi pertunjukan wayang kulit.

Wakil kumpulan Wayang Kulit Padang Asun turut berasa teruja apabila pertama kali mendapat pelawaan untuk melakukan persembahan di UUM.

Ujarnya, pelajar UUM terdiri anak muda masih mempunyai keinginan untuk mengetahui tentang wayang kulit dengan lebih lanjut.

Mereka juga meletakkan harapan supaya pertunjukan wayang kulit akan dikembangkan oleh golongan muda pada zaman sekarang agar generasi akan datang tahu akan kewujudan seni tradisional ini. – Nurafrina Abdul Aziz/UUM Today