Gambar Muhammad Shamsul Shafie/UUM Today
SINTOK: Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM) mengagihkan sebanyak 250 kilogram (kg) daging segar kepada komuniti golongan B40 dari sekitar Kubang Pasu termasuk staf anak syarikat Universiti Utara Malaysia (UUM).
Seramai 250 penerima masing-masing mendapat 1kg daging segar dengan peruntukan keseluruhan RM10,000 berdasarkan harga daging semasa.
Naib Canselor, Prof. Dr. Mohd Foad Sakdan mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada YaPEIM atas sumbangan tersebut, sekali gus membantu mereka yang masih belum menerima kemasukan gaji untuk membeli barang keperluan.

“Saya juga ingin menyeru kepada rakan-rakan lain untuk membuat kebajikan melalui potongan gaji bulanan kepada YaPEIM kerana yayasan ini akan menyalurkan sumbangan yang diterima itu kepada golongan sasaran yang memerlukan,” katanya.
Penyerahan Foodbank 5.0 ini turut mendapat kerjasama Pusat Pengajian Ekonomi, Kewangan dan Perbankan (SEFB).
Hadir sama, Pengurus YaPEIM Wilayah Utara, Fauzi Adnan; Timbalan Dekan (Penyelidikan dan Inovasi), SEFB, Prof. Madya Dr. Rasidah Mohd Rashid dan Pengerusi Jawatankuasa Jaringan & Khidmat Komuniti, SEFB, Khairul Anuar Adnan.
Sementara itu, Fauzi berkata, hubungan kerjasama antara YaPEIM dan UUM telah lama terjalin dan Program Foodbank 5.0 itu merupakan yang kelima diadakan.

“Selain menyalurkan bantuan berupa barangan dapur dan daging segar kepada masyarakat setempat terdiri B40, YaPEIM juga menghulurkan sumbangan makanan kepada pelajar terpilih.
“Sumbangan yang diterima YaPEIM ini merupakan hasil sumbangan orang ramai yang dikembalikan semula kepada komuniti yang memerlukan,” katanya.
Selain UUM, YaPEIM turut mengedarkan bantuan sama di Universiti Teknologi MARA Cawangan Perlis dan Institut Kemahiran MARA Alor Setar.
Penerima, Ahmad Suhaimi Ali, 57, merakamkan penghargaan terima kasih kepada UUM dan YaPEIM atas sumbangan daging segar itu.
Menurutnya, dengan pemberian tersebut sedikit sebanyak meringankan bebanan membeli barangan basah untuk keluarganya.