UUM Today

Your Reliable Digital Information

Powered by DaysPedia.com
Time in %PlaceName now
1023

Yusuf Al-Qaradawi meninggal dunia 

Siti Fatimah Abdullah

Siti Fatimah Abdullah

UUM Feature Editor and journalist for UUM TODAY news portal

DOHA: Dunia dikejutkan dengan ulama tersohor dunia, Yusuf al-Qaradawi yang meninggal dunia pada usia 96 tahun pada 26 September lalu.

Berita duka pemergian pemimpin gerakan Ikhwanul Muslimin dan Ketua Kesatuan Ulama Islam Antarabangsa (IUMS) itu diumumkan di akaun media sosial rasmi Allahyarham.

Allahyarham yang dilahirkan di Mesir pada pada 9 September 1926, tinggal di Qatar sejak 2013 dan diberikan hak kerakyatan berikutan penggulingan tentera kerajaan pimpinan Ikhwanul Muslimin di Mesir pada 2013.

Gerakan Ikhwanul diasaskan pada 1928, sebagai gerakan pembangkang utama di Mesir dan juga di negara lain. Kaherah menyenaraihitamkan pergerakan itu sebagai organisasi pengganas pada 2013 lalu memenjarakan beribu-ribu ahli dan penyokongnya sekalipun menafikan sebarang kaitan dengan keganasan. Allahyarham telah dibicarakan dan dijatuhkan hukuman mati tanpa hadir di Mesir.

Yusuf al-Qaradawi meninggal dunia selepas mengabdikan hidupnya untuk memperkenalkan Islam dan membela masyarakatnya. Dunia Islam kehilangan seorang ulama dan guru yang jujur, alim, dihormati lagi disegani.

Beliau dikenali komuniti antarabangsa kerana mempunyai pandangan yang tegas tentang konflik Israel-Palestin malah ulama sunni berkenaan juga pernah menggunakan pendekatan lebih lembut terhadap kumpulan syiah ketika ketegangan tercetus antara Qatar dan Arab Saudi.

Yusuf al-Qaradawi juga merupakan antara ulama yang menyokong revolusi Arab Spring di Kaherah pada 2011 yang menggulingkan bekas Presiden Hosni Mubarak.

Terkenal sebagai seorang Mujtahid di era moden, Allahyarham meninggalkan legasi penulisan yang kini menjadi rujukan kepada umat Islam di serata dunia apabila menghasilkan lebih 120 buah buku termasuk perundangan Islam serta menerima pelbagai pengiktirafan antarabangsa. ‘The Lawful and Prohibited in Islam’ turut diterjemahkan ke pelbagai bahasa dan menjadi titik rujukan utama kepada umat Islam di seluruh dunia.

Menerusi program Sharia and Life terbitan saluran berita antarabangsa, Al-Jazeera   Allahyarham sangat terkenal kerana ditonton 40 juta hingga 60 juta penonton di seluruh dunia.

Bagi mengiktiraf sumbangan dan jasa baktinya dalam dunia Islam, kerajaan Malaysia telah menganugerahkan Allahyarham Tokoh Maal Hijrah Antarabangsa pada 2009.