UUM Today

Your Reliable Digital Information

Powered by DaysPedia.com
Time in %PlaceName now
1023

Yusuf Taiyoob sumbang kelengkapan persekolahan pelajar sekitar UUM

Nordiana Shafiee

Nordiana Shafiee

UUM News Editor, Journalist

Gambar SEFB/UUM Today

PULAU PINANG: Pengarah Urusan Yusuf Taiyoob Sdn. Bhd, Dato’ Seri Yusuf Taiyoob sedia membantu menyediakan kelengkapan persekolahan kepada 50 pelajar miskin berdekatan Universiti Utara Malaysia (UUM).

Yusuf yang dikenali sebagai Raja Kurma Malaysia berkata, pemilihan pelajar berkenaan akan diuruskan Pusat Pengajian Ekonomi, Kewangan dan Perbankan (SEFB) UUM bagi meringankan beban keluarga yang berpendapatan rendah pada hujung tahun ini.

“Saya menyokong usaha yang dilakukan SEFB bagi membantu golongan berpendapatan rendah di sekitar UUM untuk membeli peralatan persekolahan anak-anak.

“Saya juga mengharapkan 10 pelajar UUM yang menerima Biasiswa Pendidikan Yusuf Taiyoob Sdn. Bhd. dengan dana keseluruhan sebanyak RM280,000 agar dapat menjalankan pelbagai aktiviti komuniti kepada pelajar yang berdekatan dengan UUM,” katanya dalam pertemuan dengan Dekan SEFB, Prof. Madya Dr. Bakti Hassan Basri di pejabatnya, semalam.

Turut hadir dalam kunjungan hormat untuk menyerahkan laporan aktiviti dan pencapaian SEFB ke pejabat Yusuf ialah Pengerusi Program Perniagaantani, Dr. Nur Adeelah Ahmad Tantowi dan Pengerusi Program Kewangan SEFB, Dr. Nur Hafizah Ismail dan Pegawai Tadbir SEFB, Hasliza Hassan.

Dalam kunjungan hormat itu, Yusuf yang juga Profesor Adjung SEFB menyerahkan replika cek kepada Dr. Bakti bernilai RM3,600 untuk menaja program tanaman pokok bakau di Kg Simpang Kuala, Jitra pada 24 Oktober ini.

Sementara itu, Dr. Bakti berkata, Yusuf turut bersedia membantu memasarkan program pengajian kepada pelajar Tunisia dan program ‘Summer Camp’ anjuran UUM.

“Beliau merupakan Konsul Kehormat Republik Tunisia dan telah menyatakan kesediaan membantu SEFB dan UUM untuk mendapatkan pelajar antarabangsa dari negara itu untuk datang ke Malaysia.

“Pertemuan beliau hari ini (semalam) bukan sahaja untuk memaklumkan segala perkembangan SEFB yang sangat dekat di hatinya, bahkan kami gembira kerana beliau sudi membantu bergantung pada kapasiti,” katanya.