Team building kukuhkan semangat kerja berpasukan SoE
PULAU PINANG: Seramai 76 staf Pusat Pengajian Pendidikan (SoE), Universiti Utara Malaysia (UUM) telah menyertai Program Pengukuhan Kerja Berpasukan (Team Building) di Bayview Beach Resort, Batu Feringgi, baru-baru ini.
Dekan SoE, Prof. Madya Dr. Mohamad Khairi Othman berkata, program ini bertujuan untuk membangkitkan semangat daya kerja, memupuk semangat berpasukan yang jitu dan merapatkan hubungan silaturrahim antara staf SoE.
Menurutnya, selain itu, ia juga untuk meraikan kerja keras dan usaha semua staf SoE dalam melakar kejayaan pusat pengajian.
Antara aktiviti yang telah dilaksanakan termasuklah solat dan kuliah Subuh berjemaah untuk mengukuhkan hubungan spiritual dan kebersamaan dalam kalangan staf SoE, selain itu aktiviti sukan seperti boling klasik dan permainan mengisi air dalam botol yang bertujuan untuk mewujudkan semangat kerjasama dan mengimbau kembali kenangan permainan zaman kanak-kanak dahulu.
Selain itu, aktiviti ‘Sampaikan Hajatmu Buatku’ dan ‘Mampukah Kau Membawa Hatiku Bersamamu’ diadakan untuk menguji kepercayaan dan komunikasi antara staf, di mana setiap individu perlu bergantung pada pasukan mereka untuk mencapai matlamat yang ditetapkan. Aktiviti ‘Menara Cinta’ pula menekankan kreativiti dan strategi kerja berpasukan dalam menghasilkan menara yang tertinggi dan kukuh.
Pengarah Program, Dr. Farah Mohamad Zain berkata, program ini berjaya mencapai objektifnya iaitu merapatkan hubungan dalam kalangan staf, meningkatkan keserakanan serta kesatuan hati antara staf akademik dan staf pentadbiran.
“Program ini diharapkan dapat diteruskan pada masa hadapan dengan lebih banyak pengisian yang bermanfaat,” katanya.
Majlis berakhir dengan majlis jamuan makan malam bertemakan “Glitz & Glam” dan sambutan ulang tahun kelahiran staf SoE bagi bulan Mei, Jun dan Julai, di samping meraikan persaraan Prof. Madya Dr. Sarimah Shaik Abdullah serta perpindahan Md. Nasir Ahmadan ke Pusat Sukan.