Off Campus

Sukarelawan Di INASIS (SUDI) dekati penduduk Kampung Tok Kassim

CHANGLUN: Jawatankuasa Kepimpinan Pembangunan Siswa dan Residen Siswa (JKPSRS) INASIS Tradewinds dan pelajar Universitas Muhammadiyah Prof. Dr. Hamka (UHAMKA) telah bekerjasama mengadakan aktiviti kemasyarakatan ‘Sukarelawan Di INASIS’ (SUDI) di Kampung Tok Kassim, baru-baru ini.

Pengetua INASIS Tradewinds, Dr. Asma Mat berkata, seramai 18 pelajar UHAMKA telah menyertai program ini termasuk aktiviti merewang bersama-sama penduduk kampung.

Antara aktiviti dilaksanakan ialah gotong-royong membersihkan surau dan khidmat kesihatan yang disediakan oleh Klinik Bergerak daripada pihak Pusat Kesihatan dan Kesejahteraan UUM. 

Ketua Delegasi UHAMKA, Sidik Maulana berkata, banyak pengalaman yang diperoleh daripada lawatan ke Kampung Tok Kasim ini.

Menurutnya, penduduk kampung sangat ramah dan baik terhadap pelajar UHAMKA, malah beliau berharap pengalaman sukarelawan yang diperoleh itu dapat digunakan pada masa akan datang.

Penghulu Mukim Temin, Muhamad Riduan Ismail berkata, beliau amat berbesar hati menerima kunjungan daripada UHAMKA lebih-lebih lagi daripada UUM kerana beliau merupakan alumni UUM.

“Usaha dan pengalaman yang diperoleh daripada khidmat sukarelawan yang dilakukan ini merupakan satu perkara yang berguna apabila masuk ke dalam dunia perkerjaan.

“Saya harap JKPSRS INASIS Tradewinds dan pelajar UHAMKA dapat terus melakukan program-program sukarelawan seperti ini lagi pada masa hadapan,” katanya.

Hadir sama, Pengetua INASIS MISC, Dr. Mazri Yaakob; Pegawai Pengiring UHAMKA, Devi Anugrah, M. Pd dan Timbalan Pengetua INASIS Tradewinds, Meor Muhammad Afif Aiman Abu Bakar. – Farah Adelia Nor Azlishan

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button