Lawatan tadbir urus BPPK UUM perkukuh strategi dan amalan pengurusan
PUTRAJAYA: Bahagian Perancangan dan Prestasi Korporat (BPPK), Universiti Utara Malaysia (UUM) telah mengadakan lawatan perkongsian tadbir urus ke Unit Pengurusan Prestasi dan Penyampaian Pendidikan Tinggi (HEAD) dan Bahagian Kecemerlangan Penyelidikan IPT (BKP IPT), Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT); Pusat Strategi, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan Pusat Strategik dan Perhubungan Korporat, Universiti Putra Malaysia (UPM), baru-baru ini.
Delegasi UUM diketuai oleh Pengarah BPPK, Prof. Madya Dr. Mazni Omar bersama enam staf pengurusan BPPK memulakan sesi lawatan perkongsian tadbir urus di HEAD, KPT di mana delegasi disambut oleh Ketua Unit HEAD, Prof. Dr. Zainal Amin Ayub.
Sesi ini merangkumi perkongsian berkaitan gerak kerja serta prestasi pembangunan pelaksanaan Pelan Pembangunan Pendidikan Tinggi Malaysia (PPPTM) 2026-2035 dan delegasi UUM turut melihat bagaimana data dan maklumat prestasi dikumpulkan, disimpan dan dianalisis untuk membuat keputusan yang berasaskan bukti.
Perkongsian ini juga menjadi platform untuk membina rangkaian kerja dengan pegawai di HEAD serta meneroka peluang kerjasama dalam projek-projek yang dapat meningkatkan prestasi UUM.
Sesi berikutnya di KPT adalah bersama Bahagian Kecemerlangan Penyelidikan IPT di mana Dr. Mohd Farhanulhakim Mohd Razip Wee telah berkongsi berkaitan penggunaan SciVal bagi proses menganalisis data penerbitan UUM.
Delegasi UUM juga berpeluang memahami strategi yang boleh digunakan untuk meningkatkan penerbitan dan penyebaran hasil penyelidikan dalam jurnal berimpak tinggi serta medium lain.
Seterusnya, delegasi UUM meneruskan sesi lawatan perkongsian tadbir urus ini ke Pusat Strategi UKM dan telah disambut mesra oleh Pro-Naib Canselor (Strategi dan Kewatanan), Prof. Dato’ Dr. Roslee Rajikan bersama-sama staf pengurusan yang lain.
Sesi dimulakan dengan perkongsian tadbir urus dalam membentuk hala tuju dan pembangunan pelan strategik UKM serta proses pemantauan dan penilaian berkaitan. Di samping itu, Timbalan Pengarah Eksekutif (Kelestarian), Prof. Madya Sr Ts. Gs. Dr. Khairul Nizam Abdul Maulud turut berkongsi mengenai strategi yang digunakan bagi aktiviti kelestarian dan inisiatif universiti terhadap kampus hijau, serta mempelajari kejayaan dan pengalaman Pusat Strategi UKM, khususnya bagaimana universiti tersebut mengintegrasikan kelestarian dalam perancangan strategik dan operasi.
Hari kedua diteruskan dengan sesi lawatan perkongsian tadbir urus ke Pusat Strategik dan Perhubungan Korporat, Universiti Putra Malaysia (UPM) dan delegasi UUM disambut oleh Pengarah, Prof. Madya Dr. Dahlia Zawawi.
Perkongsian telah diberikan oleh Ketua Seksyen Kelestarian dan Kampus Hijau UPM, Nor Shazwani Izyan Ayub berkaitan amalan pengurusan terbaik dalam aspek SDGs dan ESG yang diamalkan oleh UPM sehingga berjaya meletakkan universiti tersebut berada di kedudukan terbaik dalam penarafan yang berorientasikan kelestarian.
Pengarah BPPK, Dr. Mazni berkata, lawatan perkongsian tadbir urus ini telah memberi manfaat besar kepada delegasi UUM dalam memperkukuh strategi dan amalan terbaik dalam pengurusan universiti.
Menurutnya, perkongsian pengetahuan dan pengalaman dari pelbagai institusi ini diharap dapat membantu UUM mencapai kecemerlangan dalam aspek tadbir urus, kelestarian dan penyelidikan, seterusnya memperkukuh kedudukan universiti di peringkat nasional dan global. – Nur Liyana Noor Ismadee