KESKA perkukuh tanggungjawab sosial melalui sumbangan kepada Maahad Darul Furqan
Gambar AMJK KESKA
PENDANG, 15 Januari 2026: Kesatuan Kakitangan Universiti Utara Malaysia (KESKA) telah menganjurkan program tanggungjawab sosial korporat (CSR) berupa sumbangan barangan perabot terpakai kepada Maahad Darul Furqan di Kubur Panjang pada Selasa lalu.
Program ini merupakan hasil kerjasama strategik antara KESKA bersama Unit Harta Benda & Kemudahan (UHBK), Jabatan Pembangunan dan Pengurusan Infrastruktur (JPPI), Universiti Utara Malaysia (UUM), sekali gus mencerminkan komitmen berterusan pihak universiti dan kesatuan dalam melaksanakan aktiviti kebajikan dan kemasyarakatan.

Seramai 20 ahli KESKA terlibat dalam menjayakan program ini dengan proses memuatkan barangan ke dalam lori terlebih dahulu sebelum memulakan perjalanan ke Maahad Darul Furqan yang disambut mesra oleh seluruh kakitangan dan pelajar maahad.
Presiden KESKA, Afendi Askandar berkata, proses menurunkan barangan sumbangan dilaksanakan secara gotong-royong oleh ahli KESKA bersama kakitangan serta pelajar maahad. Sumbangan yang disalurkan merangkumi kerusi, meja dan almari bagi kegunaan pelajar tahfiz.
Menurutnya, terima kasih kepada Biro Kebajikan KESKA atas usaha mengatur dan menyelaras program ini, selain mengucapkan terima kasih kepada semua ahli yang terlibat secara langsung dalam menjayakan program.
Beliau turut berharap agar segala barangan yang disumbangkan dapat dimanfaatkan sepenuhnya oleh pihak maahad serta pelajar.

Sementara itu, Mustaqim Sulaiman yang mewakili Mudir Maahad Darul Furqan, Fadhlan Jaffar menzahirkan rasa syukur dan terima kasih atas sumbangan yang diberikan.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada UUM dan Kesatuan Kakitangan Universiti Utara Malaysia (KESKA) atas keprihatinan serta sokongan berterusan terhadap kebajikan pelajar tahfiz.
“Kami di sini mendoakan agar segala kebaikan dan usaha murni ini mendapat ganjaran yang sebaiknya serta menjadi asbab keberkatan kepada semua pihak yang terlibat,” katanya.
Kegembiraan jelas terpancar pada wajah anak-anak tahfiz yang menerima sumbangan tersebut yang amat membantu dalam menyokong keperluan pembelajaran dan kehidupan harian mereka.
Program ini diharapkan dapat mengeratkan hubungan silaturahim antara KESKA dan institusi pendidikan di sekitar negeri Kedah, di samping menyemai nilai keprihatinan serta semangat kebersamaan dalam kalangan warga universiti. – Mohd Khairil Hazree Hairudin



