Off Campus

Sentuhan akhir bakal pesara SOE dan Kesuma di Pulau Bidan

Berita dan gambar Dr. Nor Asikhin Ishak

YAN, 15 Januari 2026: Meskipun bakal bersara daripada dunia kerjaya, semangat untuk terus menyumbang kepada masyarakat dan alam sekitar tidak pernah luntur.

Walaupun menuju persaraan, semangat masih utuh untuk berkhidmat berbakti selari dengan moto Universiti Utara Malaysi (UUM) apabila sekumpulan ahli Kelab Staf Universiti Utara Malaysia (KESUMA) bersama beberapa bakal pesara UUM telah melakar momen bermakna dalam satu program tanggungjawab sosial korporat (CSR) yang berlangsung penuh semangat semalam.

Ketua program, Prof. Madya Dr. Mohd. Isha Awang berkata, program ini bukan sekadar aktiviti santai, malah sarat dengan pengisian menyentuh nilai kelestarian dan kebersamaan dimana ianya membuktikan bahawa usaha memelihara alam dan menyemai nilai cinta kepada khazanah negara tidak mengenal usia mahupun pangkat.

“Aktiviti seperti ini adalah manifestasi kepada prinsip pendidikan sepanjang hayat. Ia menunjukkan bahawa kecintaan kepada ilmu, bakti kepada masyarakat dan rasa tanggungjawab terhadap alam sekitar tidak terhenti apabila seseorang bersara. Malah, nilai-nilai inilah yang patut terus disuburkan dalam kalangan semua warga kampus,” katanya.

Seawal pagi, peserta menaiki bot dari jeti Sungai Udang untuk menyeberangi laut menuju Pulau Bidan. Suasana mesra dan ceria di atas bot mengiringi semangat tinggi dalam kalangan peserta, terdiri daripada pensyarah, pentadbir dan bakal pesara UUM.

Setibanya di pulau, aktiviti gotong-royong membersihkan kawasan pantai dimulakan dengan mengutip sisa plastik dan sampah binaan yang terbiar. Aktiviti ini tidak hanya memelihara keindahan pulau, malah menjadi satu simbolik kepada komitmen warga akademia dalam memulihara alam sekitar demi generasi akan datang.

Bertemakan “Bersih Pantai, Bersih Jiwa”, program ini turut menjadi platform menyatukan kembali ahli KESUMA dari pelbagai latar belakang. Malah, perbincangan santai di bawah rimbunan pokok kelapa sambil menikmati juadah yang dibawa sendiri oleh peserta mempamerkan nilai ukhuwah, hormat dan sinergi antara generasi muda dan warga emas UUM.

Beberapa gambar yang dirakam sepanjang aktiviti ini memperlihatkan keceriaan dan keikhlasan peserta. Dari menaiki bot bersama-sama, aktiviti pembersihan pantai, sehinggalah detik swafoto berlatarbelakangkan tulisan “Pulau Songsong” dan Pulau Bidan, semuanya menggambarkan satu perjalanan jiwa bahawa keindahan pendidikan bukan hanya di bilik kuliah, tetapi juga dalam pengalaman hidup dan khidmat kepada alam.

Program ini menzahirkan hasrat KESUMA untuk menjadikan aktiviti ini sebagai ruang memberi semula kepada masyarakat dan menyuburkan kesedaran sivik dalam kalangan staf UUM.

Pengerusi KESUMA, Zolkefli Bahador berkata, pihaknya merancang untuk memperluas inisiatif sebegini ke beberapa lokasi lain yang memerlukan intervensi sivik, alam sekitar dan pembangunan komuniti.

“Pendidikan tidak seharusnya berakhir dengan persaraan. Ia perlu terus disemai dalam bentuk khidmat, inspirasi dan tauladan.

“Program CSR ini bukan hanya mencantikkan pantai, tetapi mampu mencantikkan jiwa mereka yang hadir,” katanya.

Inilah erti sebenar ‘Sentuhan Akhir’, bukan pengakhiran kepada sumbangan tetapi permulaan kepada kesinambungan khidmat dalam bentuk yang lebih bermakna.

 

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button