UUM Today

Your Reliable Digital Information

Powered by DaysPedia.com
Time in %PlaceName now
1023

SINTOK:  Universiti perlu menyediakan satu ekosistem yang kondusif untuk menyokong penyelidik agar terus diberikan galakan untuk bergerak bersama ke arah agenda inovasi dan pengkomersialan yang lebih mantap di masa hadapan. 

Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi), Prof. Dr. Russayani Ismail  berkata,  usaha memajukan aktiviti inovasi dan pengkomersialan tidak terletak di satu pihak sahaja tetapi perlu dipikul oleh semua warga kerana agenda inovasi, pengkomersialan, pembangunan keusahawanan dan keterlibatan sosial mempunyai kesinambungan dari satu peringkat ke peringkat yang lain.

“Jadi setiap universiti mempunyai tanggungjawab untuk terus memberikan sokongan   kepada penyelidik untuk menghasilkan produk dan perkhidmatan yang berkualiti dan menjurus kepada konsep ‘demand-driven’, ‘industrial based’ dan ‘real world problems’.

“Bukan sahaja produk dan perkhidmatan itu tadi dapat memenuhi permintaan pengguna akhir, tapi juga dijangka dapat menepati keperluan industri serta menyelesaikan masalah yang berlaku pada hari ini,” ujarnya.

Jelasnya, inovasi dan pengkomersialan dilihat sebagai aspek yang signifikan dalam sesebuah ekosistem penyelidikan dan inovasi, keusahawanan dan pengkomersialan selanjutnya membawa sesebuah organisasi ke peringkat yang lebih tinggi.

“Di samping memupuk amalan inovatif dalam kalangan pelajar dan staf, hasil penyelidikan yang dijalankan turut dapat menonjolkan organisasi tersebut dalam kalangan pemain industri dan pihak berkepentingan.

“Justeru, InnoCOL selama tiga hari yang dianjurkan oleh Universiti Utara Malaysia (UUM) sebagai urusetia dan tuan rumah program di bawah seliaan Akademi Kepimpinan Pendidikan Tinggi (AKEPT) menumpukan kepada pembangunan ekosistem inovasi dan pengkomersialan di Institusi Pengajian Tinggi Awam dan Swasta,” ucapnya ketika merasmikan Program Kepimpinan Inovasi Dan Pengkomersialan Harta Intelek (InnoCoL) Siri 1, Dewan Angsana, EDC-UUM, malam tadi. 

Menerusi program ini juga peserta didedahkan kepada cabaran, strategi dan aktiviti hands-on dalam meningkatkan ekosistem, produk inovasi dan pembangunan spin-off.

“UUM merupakan universiti pengurusan walaupun universiti ini menjurus dalam bidang sains sosial namun pensyarah mula sedar kepentingan harta intelek dan pengkomersialan.

“Pelajar dan staf di Institusi Pengajian Tinggi mempunyai keupayaan inovatif dan berdaya saing yang tinggi dalam bidang masing-masing jadi tugas kita sebagai pemimpin di IPT untuk mencungkil bakat dan keupayaan yang tersembunyi, memupuk bakat tersebut dengan pelbagai program latihan kesedaran, ‘hands-on’ dan khidmat nasihat secara berterusan.

“Selaras dengan agenda penyelidikan, pembangunan penyelidikan dan pengkomersialan negara, UUM turut menyediakan pelbagai platform bagi melengkapkan ekosistem penyelidikan, pembangunan, pengkomersialan dan  inovasi (R.D.C.I.) dalam kalangan staf dan pelajar,” katanya. 

Katanya, UUM memperkenalkan pelbagai medium seperti program kesedaran harta intelek yang dihasilkan daripada penyelidikan, aktiviti pra-pengkomersialan seperti ‘pitching deck’, klinik IP dan pengkomersialan, pewujudan geran pra-pengkomersialan, pewujudan dan penambahbaikan polisi.

Sementara itu, Pengarah Pusat Inovasi dan Pengkomersialan (ICC) dan Ketua Program InnoCoL, Prof. Madya Ts. Dr. Mohd Faizal Omar menyatakan penghargaan kepada AKEPT atas kerjasama dan kepercayaan kepada pihak UUM untuk menjadi tuan rumah dan menganjurkan InnoCoL.

Beliau menyifatkan program ini memberikan pendedahan pengurusan harta intelek dan pengkomersialan kepada para peserta yang datang dari pelbagai universiti awam dan swasta seluruh Malaysia. 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *