SINTOK: “Setiap amalan anak Adam itu untuknya, kecuali puasa. Sesungguhnya puasa itu untuk-Ku dan Aku akan memberikan ganjarannya.”

Riwayat al-Bukhari

Pegawai Agama Daerah Pokok Sena, Mohd Ikmal Hafif berkata, ibadah bertujuan membersihkan jiwa, mendidik dan melatih kita menjadi insan bertakwa begitu juga dengan syariat puasa.  

“Takwa bermaksud takut, seolah-olah kita berada di tempat gelap yang penuh duri dan dengan memiliki rasa takwa kepada Allah menjadikan kita rasa diawasi, takut dan patuh. Jadi puasa sebagai bentuk pengawasan agar kita tidak terlanjur dalam perjalanan hidup dan inilah ruang untuk kita kembali melihat kelemahan diri.

“Puasa satu perjalanan untuk kenal Allah, ketika kita hilang segala-gala ingatlah pergantungan hanya kepada Dia satu-satunya. Dengan puasa kita kenal siapa kita dan siapa Pencipta serta peraturan-Nya,” ujarnya.

Menurutnya, untuk menyuburkan takwa perlu ada rasa takut dan gerun pada Allah yang membuatkan iman subur.

“Kalau nak buat dosa jangan kira saiz dosa kecil atau besar tapi tengok siapa yang melarang, Allah yang bukan sahaja dihormati malah disembah.

“Kita tidak rasa takut kerana tidak merasai ibadah, kita sembahyang sekadar melunasinya, berapa ramai yang sembahyang tanpa menghadirkan hati, membaca surah tetapi tidak memahaminya sebab itulah apabila habisnya Ramadan kita kembali kepada bisikan syaitan,” katanya.

Untuk mengekalkan momentum takwa katanya, kenangkan nikmat yang Allah kurniakan dan banyakkan mengingati mati yang menjengah tidak kira masa tanpa kita mengetahui masa dan ketikanya.

“Lumrah kehidupan setiap yang hidup pasti merasai mati jadi buatlah persediaan kerana itu nabi kata, orang yang bijak ialah orang yang banyak mengingati mati dan membuat persediaan menghadapinya,” katanya pada sesi Forum Ahlan Ramadan bertajuk Bagaimana Menyubur Taqwa di Pusat Islam.

Program seumpama ini diadakan bagi meraikan kedatangan bulan yang dirindui oleh semua umat Islam bagi menambahkan amalan demi meraih ganjaran dan ketakwaan yang dijanjikan-Nya.

Sementara itu, Dekan, Pusat Pengajian Tamadun, Bahasa dan Falsafah (SLCP), Prof. Dr. Shukri Ahmad berkata, Ramadan merupakan bulan penurunan al-Quran yang besar maknanya terhadap umat Islam.

“Al-Quran sangat istimewa bukan kitab biasa-biasa, bila membacanya kita sedang berbicara dengan kalam Allah yang terkandung di dalamnya panduan menjaga manusia sama ada merawat jiwa, kehidupan dunia dan akhirat.

“Bila berpuasa jangan tinggal al-Quran, siapa yang kasih pada nabi, paling besar dalam Ramadan adalah khatam al-Quran sebanyak-banyaknya.

“Jangan biar hari berlalu tanpa membacanya, bagi yang tidak mahir membaca al-Quran amal Surah al-Ikhlas (Qulhuwallah) tiga kali maka pahalanya seumpama membaca sebuah al-Quran,” ujarnya.

Justeru, beri sedikit waktu bagi mengingati al-Quran yang menjadi asbab Allah sayang kita supaya di dalam kubur nanti al-Quran akan mengingati dan membela kita.  

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *