SUKIPT 2024 saksi 231 pingat jadi rebutan
SINTOK: Sukan Institusi Pendidikan Tinggi (SUKIPT) Edisi Ke-6 menyaksikan sebanyak 231 pingat menjadi rebutan lebih 6,000 atlet dari 74 kontinjen yang bertanding dalam 28 acara sukan di mana Universiti Utara Malaysia (UUM) menjadi tuan rumah kali ini.
Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar) Kementerian Pendidikan Tinggi, Dato’ Dr. Megat Sany Megat Ahmad Supian berkata, persaingan pada sukan kali ini dijangka lebih sengit dengan pertambahan acara sukan berbanding sebelum ini.
Menurutnya, kehadiran setiap kontinjen dengan jumlah lebih ramai membuktikan setiap institusi pengajian tinggi (IPT) awam atau swasta telah melakukan persiapan awal untuk bertanding di SUKIPT kali ini.
“SUKIPT juga akan meneruskan tradisi yang mula dilaksanakan pada edisi ke-2 iaitu konsep perkampungan sukan untuk semua yang akan terlibat dengan penganjuran kejohanan ini.
“Perkampungan sukan sangat membantu dalam melancarkan gerak kerja bersistematik untuk beberapa Jawatankuasa Pelaksana penting kejohanan seperti penginapan, pengangkutan, keselamatan, sukarelawan dan jamuan. Hal ini sangat penting untuk menjadikan SUKIPT antara penganjuran sukan terbaik di negara ini,” katanya di Majlis Perasmian Perkampungan SUKIPT 2024 di INASIS Petronas, Jumaat lalu.
Hadir sama, Naib Canselor UUM, Prof. Dato’ Mohd Foad Sakdan.
Megat Sany berharap pertandingan ini secara langsung dapat mengemukakan lebih ramai atlet yang berpotensi untuk menjadi bakal jaguh sukan negara generasi akan datang.
SUKIPT telah bermula pada 6 September lalu dan dijangka berakhir pada 14 September ini. – Tunku Yusriza Eliyana Tunku Nazrin