Dimensi sukan sebagai satu kerjaya
SINTOK – Personaliti terkenal tanah air, Azlan Mubin, Fariha Razak dan Zainal Abidin Rawop berkongsi pengalaman dalam arena sukan sekali gus menyuntik semangat kepada mahasiswa.
Pengulas sukan terkemuka, Zainal Abidin Rawop berkongsi detik awal menjadi pengulas sukan yang penuh cabaran pada zaman sebelum adanya internet.
“Saya terpaksa membuat kajian melalui keratan akhbar di perpustakaan dan belajar daripada mereka yang lebih berpengalaman.
“Walaupun telah lama berada dalam dunia sukan, saya terus belajar seiring dengan perkembangan teknologi terkini, dengan segala maklumat di hujung jari,” kongsinya.
Beliau memulakan kerjaya di Radio Televisyen Malaysia (RTM) sekitar 1986 sebelum berpindah ke stesen TV3. Insan yang berbakat besar ini pernah mengulas acara berprestij dunia seperti Sukan SEA , Sukan Asia, Sukan Komanwel, Sukan Olimpik selain Piala Dunia dan Ragbi Piala Dunia.
Seorang lagi figura, bekas pemain sepak takraw kebangsaan, Azlan Mubin pernah merangkul pingat perak pada Sukan Asia Tenggara dan Sukan Asia.
Namun pada tahun 2007 menjadi tahun terakhir beliau beraksi di gelanggang akibat kecederaan yang dihadapinya.
Anak kelahiran Kulim Kedah ini berkongsi kisah perit dan cabaran mental apabila terpaksa meninggalkan karier yang dicintainya termasuk peluang kerja selepas tidak lagi aktif dalam sukan, serta sokongan keluarga yang tidak berbelah bahagi.
Beliau menekankan pentingnya perancangan kerjaya untuk masa depan selain memberi pandangan mengenai masa depan ahli sukan dan hala tuju mereka selepas bersara.
Seterusnya, bintang bola jaring negara, Nurfariha Abdul Razak menerangkan pentingnya membuat pilihan bijak dalam memilih sukan yang ingin diceburi untuk dijadikan sebagai kerjaya.
“Teruskan usaha, untuk berjaya dalam sukan sebagai kerjaya, atlet perlu memilih sukan yang mempunyai potensi untuk berkembang lebih jauh dan dipertandingkan di peringkat tertinggi,” ujarnya pada Forum “Ke arah Profesionalisme Dalam Kerjaya Sukan: Peluang dan Cabaran” di INASIS Petronas, UUM, perkampungan rasmi SUKIPT 2024.
Nurfariha yang berbakat besar ini berjaya mengharumkan nama negara apabila membawa pulang pingat emas yang diraih menerusi bola jaring pada Sukan SEA 2017.
Selain berjaya dalam sukan, beliau turut cemerlang dalam akademik dan wajar dijadikan contoh kepada generasi muda. Beliau merupakan graduan Sarjana Muda Teknologi di Universiti Teknologi Malaysia, Skudai pada 2019 selain menerima Anugerah Cemerlang Pingat Emas Tun Fatimah Haji Hashim.
Sementara itu, Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni (HEPA), UUM, Prof. Dr. Mohamad Martadha Mohamed berkata, forum ini penting dalam memberi kesedaran kepada mahasiswa tentang laluan kerjaya sukan yang boleh diceburi, serta persiapan awal yang boleh dilakukan untuk meraih kejayaan.
Jelasnya, forum anjuran Jawatankuasa Keusahawanan, Seminar dan Industri Sukan Sukan Institusi Pengajian Tinggi (SUKIPT) 2024 ini bertujuan memberi pendedahan kepada mahasiswa tentang cabaran dan peluang dalam kerjaya sukan profesional.
Menerusi acara ini mahasiswa dan atlet mendapat perspektif baru tentang bagaimana kerjaya sukan boleh menjadi asas kepada kejayaan masa depan sambil mengukuhkan persiapan untuk menghadapi cabaran dalam dunia profesional selepas bersara.