Sports

Kejohanan Golf UA tingkat kemahiran, kukuhkan nilai murni

SINTOK: Kejohanan Golf Universiti Awam Malaysia bukan sekadar menjadi tempat menguji kemahiran, sebaliknya mengukuhkan lagi nilai-nilai murni setiap pemain.

Naib Canselor, Prof. Dato’ Dr. Mohd Foad Sakdan berkata, kejohanan ini memperkukuhkan semangat kekitaan, memperkasa nilai-nilai perpaduan seperti bekerjasama, bertoleransi serta menyemai semangat kesukanan yang tinggi.

Menurutnya, beliau yakin pengalaman yang diraih dalam kejohanan ini akan memberi manfaat besar kepada semua dalam membina hubungan jaringan dan rangkaian komunikasi warga universiti awam.

Selain itu, katanya, seramai 268 pemain telah menunjukkan bakat dan kemahiran masing-masing di mana 89 pemain kategori Gross dan Nett bermain di Kelab Golf Sultan Sallehuddin (KGSS) Universiti Utara Malaysia (UUM).  

“Seramai 106 pemain lagi bermain di Darulaman Golf & Country Club (DGCC) di Jitra bagi kategori VVIP dan Jemputan, manakala 73 pemain kategori Nett dan Jemputan bermain di Cinta Sayang Golf and Country Resort, Sungai Petani.

“Terima kasih juga kepada semua penaja khususnya kepada UUM Holdings kerana menjadi penaja utama untuk kejohanan ini, sekali gus memeriahkan lagi sambutan ulang tahun ke-40 UUM serta Tahun Melawat Universiti Utara Malaysia,” katanya di Majlis Makan Malam sempena Kejohanan Golf Universiti Awam ke-51 di EDC UUM, semalam.

Dr. Mohd Foad berharap Kejohanan Golf Universiti Awam ke-51 ini akan menjadi pengalaman yang bermakna bagi semua yang terlibat, serta mengukuhkan lagi ikatan persahabatan, kerjasama antara semua dan mempertingkatkan jaringan yang lebih erat antara semua institusi.

Kejohanan Golf UA Malaysia ke-51 diadakan selama dua hari bermula semalam turut menyaksikan penyerahan cek cura bernilai RM30,000 daripada UUM Holdings.

Hadir sama, Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan Dan Pembangunan) Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT), Datuk Mohamad Azhan Md. Amir; Pengarah  Bahagian Hubungan Industri, KPT, Dato’ Dr. Mohd Sharil Abdullah dan Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti, UUM, Tan Sri Dr. Mohd Shukor Mahfar.

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button