UUM muncul juara Kejohanan Bola Tampar Piala Pengarah JPJ Kedah
Berita dan gambar Mohd Hanief Omar Zulkifli
SINTOK, 3 Disember 2024: Pasukan bola tampar Universiti Utara Malaysia (UUM) berjaya menjuarai Kejohanan Bola Tampar Piala Pengarah JPJ Kedah yang berlangsung di Pusat Sukan dan Rekreasi UUM.
Jurulatih pasukan, Fuziazmi Othman berkata, UUM mempamerkan prestasi cemerlang sepanjang kejohanan dengan mendominasi peringkat kumpulan dan seterusnya melangkah ke pusingan separuh akhir.
Dalam perlawanan separuh akhir, UUM menewaskan pasukan KEDA, sekali gus melayakkan diri ke perlawanan akhir.
Perlawanan akhir menyaksikan UUM mengatasi pasukan Bomba Airport Kedah dengan kemenangan sengit 2-1. Kejayaan ini mencerminkan usaha gigih dan semangat berpasukan yang tinggi dalam kalangan pemain UUM.
Kejohanan ini merupakan platform untuk merapatkan hubungan antara agensi kerajaan dan institusi pendidikan tinggi melalui semangat kesukanan. Dengan kejayaan ini, UUM terus memperkukuhkan reputasinya dalam arena sukan peringkat negeri.
Penganjuran kejohanan ini diharap dapat menjadi pemangkin kepada peningkatan mutu sukan dan kerjasama strategik antara pelbagai pihak.