Abdullah Dania dinobat Johan Terbuka Gross Kejohanan Golf Terbuka UUM 2025
SINTOK, 1 September 2025: Abdullah Dania muncul Johan Kategori Terbuka (Gross) UUM Open Golf Tournament 2025 selepas mengekalkan prestasi cemerlang dengan catatan 71 pukulan pada hari pertama dan 72 pukulan pada hari kedua, Sabtu lalu.
Beliau membawa pulang hadiah berupa wang tunai RM2,000, seutas jam Garmin dan piala pusingan.
Bagi Kategori Terbuka (Medal A), gelaran juara dimenangi oleh Roslan Piei yang menerima wang tunai RM1,700 berserta seutas jam Garmin.
Sementara itu, Kategori Terbuka (Medal B pula menyaksikan Mohamad Fisol Othman diumumkan sebagai juara, membawa pulang wang tunai RM1,500 berserta Fairway Wood Qi35.
Majlis Penyampaian Hadiah telah disempurnakan oleh Duli Yang Teramat Mulia Tengku Sarafudin Badlishah Ibni Al-Aminul Karim Sultan Sallehuddin, Tuanku Raja Muda Kedah yang turut berkenan berangkat ke kejohanan berprestij ini, yang julung kali diadakan.
Keberangkatan tiba baginda disambut oleh YBhg. Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Ts. Mustapha Sakmud; Naib Canselor UUM, YBhg. Profesor Dato’ Dr. Mohd Fo’ad Sakdan, bersama Ahli Lembaga Pengarah UUM yang juga Pengerusi UUM Holdings, YBhg. Dato’ Mohd Zuhri Abdullah, serta dif-dif kehormat yang lain.
Tuanku Raja Muda Kedah turut berkenan menyertai pertandingan golf di Kelab Golf Sultan Sallehuddin, Universiti Utara Malaysia (UUM), sebelum berangkat ke EDC Hotels & Resorts UUM bagi menghadiri Majlis Santapan dan seterusnya menyempurnakan penyampaian hadiah kepada para pemenang.
UUM Open Golf Tournament 2025 sekali lagi membuktikan peranannya sebagai platform sukan berprestij yang mengumpulkan pemain golf dari pelbagai latar belakang serta memperkukuh jalinan antara universiti dengan komuniti. – Kori Ariff