Atlet golf UUM cemerlang di Kejohanan 39th Men and 32nd Ladies Negeri Sembilan Amateur Open
Berita dan gambar Nurul Farhana Abd Razak
SEREMBAN, 18 Jun 2025: Atlet golf Akademi Golf Nasional Universiti Utara Malaysia (AGNUUM), Zia Iqmal Abdul Rashid telah melakar kejayaan cemerlang apabila merangkul gelaran juara dalam Kejohanan 39th Men & 32nd Ladies Negeri Sembilan Amateur Open di Seremban International Golf Club (SIGC).
Kejohanan yang berlangsung pada 9 hingga 12 Jun ini telah menyaksikan persaingan yang sengit daripada pemain golf amateur seluruh negara untuk mempamerkan bakat dan semangat kesukanan yang tinggi.
Zia Iqmal mengekalkan prestasi cemerlangnya sepanjang kejohanan bagi memastikan gelaran juara menjadi miliknya. Kedudukan “1st Runner Up” pula dimenangi oleh Hariz Hezri yang juga merupakan atlet kelahiran AGNUUM.
Sementara itu, Azahari Amir dan Irlman Izzad turut menyumbang kejayaan dengan menempatkan diri dalam kelompok 10 pemain terbaik daripada 84 pemain yang menyertai kejohanan tersebut.
Bagi kategori wanita, Charlayne Chong Shin Ling berjaya menempatkan diri sebagai 1st Runner Up dengan jumlah 220 pukulan.
Pengarah AGNUUM, Prof. Madya Dr. Zaheruddin Othman mengucapkan tahniah dan syabas kepada semua pemain dan jurulatih atas pencapaian yang membanggakan ini, sekali gus menunjukkan pelan pembangunan atlet golf berada di landasan yang tepat selaras dengan hasrat universiti melahirkan “The Thinking Athlete (s)”.