Sports

Kontinjen UUM sedia berjuang di SUKANUN Ke-13 di UiTM Perak

Gambar Mohd Fuad Hamid

SINTOK, 4 September 2025: Seramai 48 atlet dan pegawai mewakili Universiti Utara Malaysia (UUM) bakal menyertai Karnival Sukan Persatuan Badan Berkanun Malaysia (SUKANUN) Ke-13 yang akan berlangsung di Universiti Teknologi MARA (UiTM) Seri Iskandar, Perak, dari 7 hingga 13 September ini.

Majlis Penyerahan Bendera Kontinjen UUM ke SUKANUN telah disempurnakan oleh Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi), Prof. Dr. Ram Al Jaffri Saad yang mewakili Naib Canselor, Prof. Dato’ Dr. Mohd Foad Sakdan di Foyer Canselori Sultan Sallehuddin, petang ini.

Dalam teks ucapan yang dibacakan oleh Dr. Ram Al Jaffri, Dr. Mohd Foad berkata, SUKANUN merupakan kejohanan dwi tahunan yang menghimpunkan warga badan berkanun dari seluruh negara, termasuk universiti awam, institusi kewangan dan agensi kerajaan berstatus badan berkanun.

Menurutnya, penganjuran kejohanan ini bertujuan untuk memupuk semangat kesukanan, memperkukuh jaringan silaturahim, serta menggalakkan gaya hidup sihat dalam kalangan warga badan berkanun.

“Tahniah kepada atlet UUM yang terpilih. Anda bakal membawa nama baik universiti, dan bendera yang dibawa ini merupakan simbol maruah universiti.

“Ia adalah satu amanah dan lambang semangat perjuangan yang harus dijunjung dengan penuh rasa tanggungjawab,” katanya.

Beliau turut menyatakan harapan agar atlet UUM dapat membawa pulang pingat emas dalam setiap acara yang disertai, iaitu futsal, badminton, tenis, dan berbasikal criterium.

Dalam pada itu, beliau turut merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih kepada Biro Pengurusan Sukan MKSK atas usaha gigih, dedikasi serta komitmen tinggi dalam melatih, membimbing dan mempersiapkan kontinjen universiti ke kejohanan berprestij ini.

Untuk edisi kali ini, UUM menghantar penyertaan dalam empat acara daripada 20 acara sukan yang dipertandingkan sepanjang kejohanan berlangsung.

Majlis turut diserikan dengan lafaz ikrar oleh Atlet Kontinjen UUM, Shukhairy Kamaruzzaman, di hadapan Dr. Ram Al Jaffri dan ahli Jawatankuasa Pengurusan Universiti.

Turut hadir, Pendaftar, Ahmad Rasidi Abdullah; Penasihat Undang-undang, Prof. Madya Dr. Khadijah Mohamed; Ketua Pustakawan, Prof. Dr. Che Azlan Taib; Pengarah Canselori, Mohd Zulkifli Mohd Noor; Pengarah Pusat Sukan, Dr. Nasiruddin Haron serta pegawai-pegawai dari Pusat Sukan UUM.

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button